JOHOR BAHRU 4 Julai – Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi tampil menegaskan kenyataannya berhubung Dokumen Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) bukan bertujuan mencela atau menyalahkan mana-mana pihak.
Sebaliknya, ia bagi memastikan setiap inisiatif strategik yang membawa manfaat kepada Johor dilaksanakan mengikut jadual dan dipercepatkan, selain terus memberikan kepastian dan keyakinan kepada para pelabur.
Onn Hafiz merujuk kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semalam yang menyifatkan beliau yang juga Pengerusi UMNO Johor menggunakan pelan JS-SEZ sebagai bahan kempen Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRu DN).
Dalam kenyataannya, beliau berkata, kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri menuntut setiap kenyataan yang dibuat adalah bersandarkan maklumat yang tepat bagi mengelakkan kekeliruan kepada rakyat dan pelabur.
Justeru, tegasnya, adalah tidak wajar apabila timbul gambaran bahawa Dokumen Pelan Induk JS-SEZ masih memerlukan persetujuan Kerajaan Singapura sebelum boleh dilancarkan.
Beliau menjelaskan, pelan induk berkenaan adalah dokumen milik Kerajaan Malaysia yang tidak memerlukan kelulusan Singapura, sebaliknya hanya melalui proses libat urus dan maklum balas daripada republik itu, yang menurutnya telah pun selesai.
“Yang tinggal hanyalah pelancarannya oleh pihak kementerian atau pada majlis yang diputuskan oleh Kerajaan Malaysia
“Sebab itu saya berpandangan, apabila Perdana Menteri menyatakan seolah-olah pelan induk ini masih perlu menunggu persetujuan pada Leaders Retreat dan seterusnya memerlukan tandatangan Perdana Menteri dari kedua-dua negara, kenyataan itu tidak tepat serta mengelirukan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, sebagai kerajaan negeri, menjadi tanggungjawab Johor memastikan setiap inisiatif strategik yang memberi manfaat kepada negeri itu dilaksanakan mengikut jadual, selain dipercepatkan demi memberi kepastian kepada pelabur.
Menurut Onn Hafiz, ramai pelabur sedang menantikan pelancaran Pelan Induk JS-SEZ kerana dokumen itu mampu meningkatkan keyakinan pelabur untuk terus menanam modal di zon ekonomi khas berkenaan.
“Manfaatnya bukan sahaja kepada Bangsa Johor, malah turut memberi limpahan kepada Kerajaan Persekutuan dan seluruh rakyat Malaysia.
Pada pandangan Perdana Menteri, saya mungkin tidak cerdik, tetapi yang lebih merisaukan jika Perdana Menteri dilihat tidak teliti dan cerdik dalam membuat kenyataan yang tidak tepat.
“Ia memberi kesan bukan sahaja kepada rakyat Malaysia dan Bangsa Johor, malah kepada pelabur yang telah dan berpotensi melabur di JS-SEZ,” katanya.
Dalam kenyataannya semalam, Anwar antara lain menjelaskan hal menandatangani perjanjian JS-SEZ adalah membabitkan Perdana Menteri Malaysia dengan Perdana Menteri Singapura, belum sampai ke peringkat Menteri Besar.
Perdana Menteri membalas kenyataan Onn Hafiz yang terdahulu mendakwa Kerajaan Persekutuan berulang kali menangguhkan pelancaran pelan induk JS-SEZ, mengatakan pada asalnya pelan itu disasarkan untuk diumum pada penghujung 2025, kemudian pada 30 Mac lalu dan ditangguhkan sekali lagi pada suku keempat tahun ini.
Menurut Menteri Besar Johor itu, pelan induk JS-SEZ tidak sepatutnya dilengahkan kerana ia membabitkan kepastian kepada pelabur, hala tuju sektor, zon pelaburan, insentif, prasarana, pembangunan bakat dan penyelarasan antara agensi.
Nnnn
