TEHRAN – Separuh daripada aset Iran yang dibekukan di Qatar berjumlah AS$12 bilion akan dipulangkan ke Tehran dan susulan sewajarnya sedang dijalankan bagi memastikan baki sumber tersebut turut dikembalikan.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dilaporkan membuat kenyataan itu ketika mengadakan pertemuan bersama ulama kanan Iran di bandar Qom.
Bagaimanapun, pegawai Amerika Syarikat (AS) memaklumkan, setakat ini tiada aset Iran yang dilepaskan tetapi menjelaskan aset itu kelak akan digunakan untuk membeli produk pertanian dari AS bagi membantu keperluan makanan rakyat Iran.
Menurutnya, sebarang pelepasan dana bagi tujuan kemanusiaan adalah tertakluk kepada tahap pematuhan serta pelaksanaan memorandum persefahaman (MoU) oleh Iran.
Memorandum persefahaman yang dipersetujui antara AS dan Iran awal bulan ini menetapkan bahawa Washington akan “membolehkan sepenuhnya penggunaan dana dan aset milik Republik Islam Iran yang dibekukan atau disekat, tertakluk kepada pelaksanaan perjanjian berkenaan.”
Dalam rundingan sebelum ini, Iran berulang kali menegaskan bahawa pemulangan aset yang dibekukan di bank-bank luar negara mesti menjadi sebahagian daripada proses susulan selepas pemeteraian MoU tersebut.
