BEIRUT – Pemimpin Hizbullah, Naim Qassem, tidak mengiktiraf sebarang perjanjian antara Tel Aviv dan Beirut serta mengisytiharkan perjanjian berkenaan tidak sah selagi tentera Israel tidak meninggalkan Lubnan sama sekali.
Qassem menyifatkan perjanjian itu sebagai memalukan, mengaibkan dan satu penyerahan kedaulatan serta memberi amaran ia boleh membawa kepada pengilhakan selatan Lubnan oleh Israel.
“Perjanjian ini terbatal dan tidak sah. Sebaliknya, peruntukan dalam memorandum persefahaman Iran-Amerika Syarikat (AS) perlu dilaksanakan,” katanya merujuk kepada perjanjian antara kedua-dua negara bagi menamatkan konflik lebih luas di Asia Barat, termasuk gencatan senjata di Lubnan.
Perjanjian itu ditandatangani di Washington Jumaat lalu, selepas lima pusingan rundingan bertujuan membuka laluan ke arah keamanan antara kedua-dua negara selain merangkumi rancangan untuk melucutkan senjata Hizbullah.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkan perjanjian ditandatangani negara itu dengan Lubnan sebagai tamparan kepada Iran dan Hizbullah.
Ketika Qassem mengecam perjanjian itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, menegaskan tentera Israel akan terus berada di Lubnan selagi Hizbullah masih bersenjata.
Beliau berkata pihaknya sudah mengarahkan tentera Israel bersedia untuk berada lebih lama di selatan Lubnan.
“Tiada penempatan semula atau pengunduran tentera Israel dari selatan Lubnan selagi pertubuhan Hizbullah tidak dilucutkan senjatanya di seluruh Lubnan,” katanya.
Semalam, Presiden Lubnan, Joseph Aoun, memaklumkan kepada Presiden AS, Donald Trump, dalam perbualan telefon bahawa kerajaan Lubnan akan bertanggungjawab melaksanakan perjanjian itu.
Perjanjian itu turut menerima kritikan dari dalam Israel apabila Menteri Keselamatan berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir, mengecam dan menegaskan bahawa hanya tentera Israel mampu melucutkan senjata Hizbullah.
Menurut teks perjanjian yang dikongsi oleh Jabatan Negara AS, Lubnan dan Israel, yang secara rasmi sudah berperang selama beberapa dekad, menyatakan hasrat untuk menamatkan konflik secara muktamad, menangani punca asasnya dan sekali gus mengakhiri secara rasmi perang antara kedua-dua negara.
Nnnn
