BEIRUT – Lubnan melaporkan serangan udara Israel di bahagian selatan negara itu ketika tentera Israel mengeluarkan amaran pemindahan kepada penduduk di bandar Nabatieh dan lebih 20 lokasi lain menjelang serangan yang telah dirancang.
Serangan pada Sabtu itu berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) dan Iran memberi bayangan bahawa mereka semakin hampir mencapai perjanjian bagi menamatkan perang di Asia Barat, yang turut dijangka merangkumi Lubnan.
Menurut Agensi Berita Nasional (NNA), beberapa kawasan menjadi sasaran serangan udara Israel, khususnya di sekitar bandar Nabatieh di selatan negara itu.
Hizbullah yang terus melancarkan serangan terhadap tentera Israel yang mara ke Lubnan berkata, pejuangnya telah melancarkan serangan dron ke atas kenderaan tentera Israel di selatan negara itu.
Kumpulan itu turut mendakwa berjaya menggagalkan cubaan penyusupan oleh tentera Israel di kawasan Kfar Tebrnit berhampiran Nabatieh selepas melancarkan serang hendap dan terlibat dalam pertempuran menggunakan senjata sederhana.
Hizbullah juga melaporkan berlaku pertempuran dengan tentera Israel di sekitar Majdal Zoun yang terletak lebih dekat dengan sempadan Israel.
Tentera Israel pula memaklumkan bahawa mereka berjaya memintas satu sasaran udara mencurigakan yang memasuki wilayah Israel dari Lubnan.
Israel kemudian mengumumkan bahawa lebih 70 lokasi infrastruktur pengganas Hizbullah telah diserang dalam tempoh 24 jam lalu.
