BERLIN – Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) mempertimbangkan bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 2038 atau 2042.
DFB kini berbincang dengan pembuat dasar mengenai sokongan, termasuk jaminan diperlukan badan induk bola sepak dunia FIFA serta sumbangan kewangan untuk menganjurkan Piala Dunia.
Di samping itu, DFB juga merancang mendapatkan penjelasan daripada FIFA mengenai bila badan itu akan menentukan tuan rumah Piala Dunia 2038 dan sama ada calon dari Eropah dibenarkan membida pada waktu itu.
DFB berpandangan Eropah berkemungkinan tidak layak membida sehingga 2042 memandangkan Piala Dunia 2030 sebahagian besarnya akan berlangsung di Sepanyol dan Portugal (bersama Maghribi, selain satu perlawanan masing-masing di Uruguay, Argentina dan Paraguay).
Arab Saudi akan menjadi tuan rumah kejohanan itu pada 2034.
Walaupun Badan Olimpik Jerman (DOSB) merancang membida Sukan Olimpik Musim Panas 2036, 2040 atau 2044, DFB tidak melihat perkara itu sebagai isu.
Sebelum ini, Brazil menganjurkan dua acara besar berturut-turut iaitu Piala Dunia 2014 dan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro. Amerika Syarikat (AS) juga akan berbuat demikian dengan Piala Dunia 2026 dan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Jerman pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia lelaki pada 1974 dan 2006 serta Piala Dunia wanita pada 2011. Negara itu baru-baru ini menganjurkan Euro 2024 lelaki dan akan menjadi tuan rumah Euro Wanita 2029.
