Sidang media MB Negeri Sembilan batal

SEREMBAN 3 Jun – Sidang media, Aminuddin Harun yang sepatutnya diadakan di Bilik Gerakan Wisma Negeri di sini, pukul 1.30 tengah hari ini, dibatalkan berikutan Menteri Besar Negeri Sembilan itu dikatakan mempunyai urusan rasmi lain.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah memaklumkan perkara itu kepada media yang menunggu di Wisma Negeri.

“Sidang media Menteri Besar yang dijadualkan pada jam 1.30 petang ini ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. YAB Menteri Besar mempunyai urusan penting,” katanya.

Beliau memaklumkan Aminuddin selesai mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bermula jam 11 pagi tadi dan selesai sekitar jam 12.30 tengah hari.

Terdahulu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, di sini, selama lebih satu jam pagi tadi.

Turut mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad.

Walaupun menjadi rutin Menteri Besar menghadapi Tuanku Muhriz, sesi menghadap hari ini ia menarik perhatian pengamal media susulan desas desus Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dalam masa terdekat.

Desas desus semakin kuat apabila Aminuddin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan PH Negeri Sembilan di Kediaman Rasmi Menteri Besar, pagi semalam.

Sementara itu, berkaitan mesyuarat semalam, ADUN Seremban Jaya,  P Gunasekaren berkata, pelbagai perkara dibincangkan, namun ia lebih tertumpu kepada persiapan dan gerak kerja menghadapi PRN.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, bagaimanapun menegaskan mesyuarat tidak menyatakan bila tarikh pembubaran DUN akan dibuat bagi memberi laluan kepada PRN Negeri Sembilan.

“Perkara berkaitan tarikh (pembubaran DUN) belum tahu kerana ia perlu dibuat mengikut undang-undang, tetapi sekarang kita ada masalah sedikit berkaitan perlembagaan.

“Jadi, kita tak tahu lagi bila pembubaran DUN atau PRN akan diadakan,” katanya yang memaklumkan Pengerusi DAP negeri, Anthony Loke tidak hadir mesyuarat itu.

Related posts

Leave a Comment