KUALA LUMPUR 1 Jun – Selepas mengumumkan persaraannya daripada politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menafikan dakwaan beliau bakal melompat atau ‘dibeli’ parti lain.
“Ada yang cakap ‘lompat parti ke?’, ‘kena beli ke? Tidak.
Saya sudah terangkan bahawa segala keputusan yang saya buat adalah selepas berbincang dengan mereka yang menjadi tulang belakang saya dan memahami cara kerja saya,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Semalam Marina mengumumkan hasratnya tidak akan mempertahankan kerusinya di DUN Skudai pada PRN Johor akan datang dan susulan itu timbul pelbagai spekulasi berhubung keputusannya.
ADUN daripada DAP itu berkata, spekulasi dan persepsi negatif itu timbul apabila dirinya dilihat tidak lantang dalam mengkritik kerajaan.
Marina menegaskan, walaupun dirinya seorang ahli politik, beliau mengambil pendirian tidak membangkang semua perkara semata-mata kerana perbezaan politik.
“Saya bercakap pada diri, tidak mahu jadi seperti orang politik lain yang mengkritik sana-sini tetapi akhirnya mereka sebenarnya sama saja.Kalau baca buku ‘Art of War, Sun Tzu beliau ada menekankan kebenaran terbaik adalah kemenangan yang dicapai tanpa perlu bertempur.
“Prinsip ini sentiasa dipegang dalam kerja di lapangan dan dalam Islam ada bercakap tentang manusia dan hati Al-Qalb, bagaimana hati berbolak-balik,” katanya.
Justeru katanya, apabila berurusan dengan manusia ia bukan sekadar membabitkan angka atau teori, tetapi dengan hati dan perasaan.
“Hati manusia boleh berubah dan sebab itu pendekatan yang berasaskan perbincangan, hormat dan persefahaman sering kali lebih berkesan daripada serangan yang berterusan.
“Kita perlu meletakkan diri kita dalam satu keadaan di mana, kita rajin maki hamun orang dan anggap orang tu berlapang dada membantu kita, silap-silap tiada terus budi bicara, ia hakikat manusia,” katanya.
Beliau sedar tidak semua ahli politik sependapat dengannya selain ada yang melihat peranan pembangkang sebagai menentang setiap perkara yang dilakukan kerajaan.
Bagaimanapun bagi dirinya, apabila sesuatu perkara memberi manfaat kepada orang di kawasannya, adalah menjadi tanggungjawab untuk menyokong jika perkara yang baik tetapi bukan menyokong membuta tuli.
“Paling penting apabila terdapat kelemahan, kita menegur serta menawarkan penyelesaian. Ini yang dilakukan dalam sidang DUN, aku tulis WhatsApp dan membawanya ke mesyuarat,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Sun Tzu mengajar seorang pemimpin perlu memahami keadaan sekeliling sebelum bertindak.
Menurut Marina, di Johor, beliau berada dalam kedudukan bukan sebahagian daripada kerajaan negeri tetapi percaya , ia tidak bermaksud setiap urusan perlu diselesaikan melalui konfrontasi.
Jelasnya, banyak masalah rakyat dapat diselesaikan melalui hubungan kerja yang baik, rundingan yang matang dan kemampuan membina jambatan antara pelbagai pihak.
“Sebab itu saya boleh dilihat jarang berpolitik apabila belum sampai masanya. Keutamaan saya sentiasa kepada kepentingan rakyat di lapangan,” katanya.
Beliau berkata, kekuatan sebenar seorang ahli politik tidak seharusnya diukur melalui berapa banyak pertelingkahan yang dibuat, tetapi melalui berapa banyak masalah rakyat yang berjaya diselesaikan.
“Ini semangat yang saya pegang dalam berkhidmat kepada masyarakat. Konsepnya, menang tanpa bertempur di mana menyelesaikan masalah melalui hubungan dan rundingan.
“Selepas itu, kenali manusia dan keadaan di mana memahami emosi, kepentingan dan realiti politik setempat.
“Paling penting fleksibel dalam strategi, tegas pada matlamat di mana matlamat membantu rakyat kekal sama, tetapi kaedahnya boleh berubah mengikut keadaan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu juga selari dengan budaya politik Johor yang lebih menekankan kestabilan, hubungan kerja dan penyelesaian praktikal berbanding politik konfrontasi yang berpanjangan.
Tegasnya, menjadi hak masing-masing untuk menilai dan mengatakan dirinya lemah atau lembik.
Tetapi bagi dirinya ia bukan tanda kelemahan, tetapi satu bentuk diplomasi strategik yang membolehkan lebih banyak perkara dicapai untuk kawasan yang diwakilinya.
Nnnnn.
