KUALA LUMPUR 2 Mei – Selepas menyambut ulang tahun ke-80, UMNO diingatkan supaya memperkukuhkan peranan dan hala tujunya dalam tempoh dua dekad akan datang, yang bukan sekadar memberi tumpuan kepada kemenangan pilihan raya sahaja.
Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, kerangka hala tuju parti perlu melangkah dengan asas lebih kukuh, penekanan kepada pembangunan holistik yang merentasi aspek agama, politik, ilmu dan jati diri bangsa Melayu.
Justeru beliau mahu gerak kerja parti dipersiapkan dengan teras yang kemas agar melahirkan pewaris bangsa yang penuh roh dan jiwa kemelayuannya yang dapat menjadikan UMNO wadah kukuh untuk berbakti dan berkhidmat
“Ingin saya hasratkan agar UMNO dalam dua dasawarsa ini untuk pertama, memperkasa dakwah bagi memelihara akidah, menegakkan syariah dan memuliakan akhlak.
“Kedua, menjadi induk kestabilan politik negara. Ketiga, menjadi talent factory (kilang bakat) yang melahirkan cendekiawan, pakar pelbagai bidang dan intelektual berkemahiran yang menguasai teknologi masa depan.
Keempat, menyatukan fikrah kepimpinan bangsa Melayu. Kelima, menyuburkan budaya ilmu dan tafaqquh untuk merencana dasar dan membentuk kefahaman umat,” katanya ketika penggulungan Konvensyen UMNO sempena sambutan Ulang Tahun ke-80 parti itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Ahmad Zahid berkata, perjalanan panjang UMNO menempuhi pelbagai krisis dan anjakan perlu dijadikan pengajaran untuk memperkukuhkan parti bagi tempoh jangka panjang.
“Kejayaan sesebuah perjuangan tidak hanya diukur pada kekuatan institusi, tetapi kualiti manusia yang dibentuk untuk membina agama, bangsa dan negara.
“Menjelang ulang tahun UMNO ke-100 nanti, mungkin saya tiada lagi di dunia ini. Namun saya mengimpikan Melayu yang tidak luntur jiwa keislamannya. Benar-benar memahami rukun agama, tidak terpisah dari jasad dan rohnya.
“Saya mengimpikan anak-anak Melayu yang kental jati dirinya, yang menjaga maruah, yang tinggi adab dan mulia akhlaknya. Saya mengimpikan Melayu yang menjadi inventor, mencipta idea, mencipta nilai dan memangkin kemajuan nusa dan bangsa,” katanya.
Beliau turut mengimpikan Melayu yang bersepakat, menenun jaringan dan berpaut pada satu kekuatan, Melayu yang menjadi ikutan, menjadi tunjang kepada negara majmuk yang rencam, berbilang latar dan lapisan.
“Inilah generasi Melayu yang kita semua dambakan berakar pada iman, berakal dalam tindakan, berdaya dalam ciptaan, berjiwa besar dalam perjuangan dan bersatu dalam kepimpinan,” katanya.
Nnnn
