Mana Sikana Sasterawan Negara ke-16

PUTRAJAYA 28 April – Allahyarham Dr Abd Rahman Napiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-16.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pemilihan berdasarkan ketokohan beliau sebagai sasterawan yang prolifik dan konsisten menghasilkan karya kreatif yang bermutu tinggi sepanjang kerjayanya.

Beliau berkata, sumbangan Allahyarham merangkumi pelbagai genre, termasuk cerpen, novel dan drama yang sarat dengan pemikiran kritis, nilai kemanusiaan serta kepekaan terhadap realiti sosial.

Mana Sikana yang meninggal dunia pada 26 Mei tahun lalu sering menampilkan pendekatan yang berani dan inovatif, sekali gus memperkayakan bentuk serta estetika penceritaan dalam kesusasteraan Melayu moden.

“Kesinambungan penulisan beliau dalam bidang cerpen menghasilkan ratusan karya yang memperlihatkan eksperimen naratif serta kekuatan pemikiran falsafah, antaranya dihimpunkan dalam kumpulan cerpen seperti Cinta Junjungan.

“Dalam genre novel pula, karya seperti Ronjang, Klimaks, Kesesatan dan Syajar semuanya yang dihasilkan secara intertekstual, metafiksyen dan metasejarah.

“Novel Mana Sikana ini membawa pembaharuan daripada segi struktur dan teknik penulisan genre novel di Malaysia. Dalam bidang drama, beliau banyak menulis skrip drama pentas, skrip drama radio dan televisyen,” katanya pada sidang media bagi menobatkan Anugerah Sasterawan Negara ke-16, di kementeriannya hari ini.

Sasterawan Negara akan menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000, penerbitan karya sehingga 50,000 naskhah atau nilai maksimum RM500,000.00 untuk diedarkan kepada sekolah, perpustakaan serta jabatan dan agensi kerajaan.

Langkah itu bertujuan memastikan karya tokoh terus dibaca, dihargai dan dimanfaatkan oleh masyarakat secara meluas.

Selain itu, Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-16 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan oleh Istana Negara.

Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

Mengulas mengenai pemilihan itu, Fadhlina berkata, keputusan panel berhubung pemilihan penerima sudah diputuskan pada 14 April 2025.

“Bagaimanapun, Allahyarham kembali ke rahmatullah pada 26 Mei lalu iaitu selepas keputusan penilaian dimuktamadkan,” katanya.

Dalam hal ini, adalah penting untuk ditegaskan bahawa asas penilaian Anugerah Sastera Negara adalah terhadap sumbangan karya dan pemikiran tokoh sepanjang hayatnya.

“Walaupun jasad tokoh sudah tiada, karya dan pemikiran ditinggalkan akan terus hidup dan memberi manfaat kepada masyarakat serta generasi akan datang sebagai khazanah ilmu dan budaya bangsa.

“Sehubungan dengan itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Januari lalu sudah meluluskan pindaan terhadap Tatacara Kerja Anugerah Sastera Negara. Pindaan ini membolehkan calon yang meninggal dunia dalam tempoh penilaian atau pemilihan, masih layak dinilai dan dipertimbangkan untuk menerima anugerah ini.

“Ketetapan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pengiktirafan tertinggi negara ini diberikan berasaskan jasa, sumbangan pemikiran dan ketokohan sastera, tanpa terhalang oleh kekangan teknikal berkaitan status hayat,” katanya.

Perjalanan awal Allahyarham bermula apabila cerpen Kawan yang Berbudi dan Berduri tersiar dalam akhbar Berita Harian pada tahun 1964 yang seterusnya memenangi hadiah dalam siri cerpen pilihan terbaik akhbar berkenaan.

Rentetan kemenangan beliau itu, Sekolah Menengah Izzuddin Shah di Ipoh pada waktu itu mengumumkan cuti sehari kepada pelajarnya kerana cerpen berkenaan dihasilkan oleh salah seorang pelajarnya berusia 18 tahun.

Selain penulisan buku, Allahyarham juga aktif menghasilkan drama pentasnya bertajuk Tanah di Hujung Bendang karya beraliran realisme, drama Di Hujung Taming Sari berbentuk drama metasejarah yang dipeloporinya, drama Pengadilan iaitu drama komedi berdasarkan idea yang absurd.

Nnn

Related posts

Leave a Comment