WASHINGTON – Presiden Donald Trump mendakwa Lubnan sudah bersetuju untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata selama tiga minggu lagi sebelum berakhir pada Ahad ini.
Presiden AS itu berharap satu pertemuan tiga hala dapat diadakan dalam masa terdekat, sekali gus membuka jalan kepada potensi perjanjian damai.
Trump tetap optimis mengenai prospek keamanan di Lubnan dan berpendapat ada peluang yang sangat baik untuk mencapai keamanan biarpun kumpulan Hizbullah dilaporkan melancarkan serangan baharu susulan serangan maut oleh Israel.
Beliau juga menjangkakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Lubnan, Joseph Aoun, akan mengadakan pertemuan bersama beliau di Rumah Putih sepanjang tempoh gencatan senjata berkenaan.
Trump berkata, kedua-dua pemimpin berkenaan akan datang ke AS dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Terdahulu, Aoun menafikan kenyataan Trump yang mendakwa beliau akan mengadakan perbualan telefon dengan Netanyahu.
Pegawai Lubnan sebelum pertemuan itu menyatakan mereka memohon lanjutan gencatan senjata selama sebulan.
Bagaimanapun, Aoun menegaskan bahawa ia harus merangkumi pemberhentian kemusnahan kediaman dan serangan ke atas orang awam, rumah ibadat, wartawan serta sektor perubatan dan pendidikan.
Duta Israel ke AS, Yechiel Leiter berkata, negaranya mahukan perjanjian damai dengan kerajaan Lubnan dan percaya kedudukan Hizbullah kini semakin lemah akibat serangan ke atas negara pimpinan ulama di Iran itu.
Nnn
