SEPANG 17 April – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di Melaka malam ini menerima semula 6,252 bekas pimpinan dan ahli UMNO di pelbagai peringkat untuk menyertai parti itu di bawah inisiatif Rumah Bangsa.
Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, melalui Facebook memberitahu, mereka termasuk Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin dan Syed Hamid Albar.
Gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah untuk menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti atas apa jua faktor.
Untuk rekod, Khairy sebelum ini dipecat daripada UMNO selepas pilihan raya umum lalu, manakala Hishammuddin digantung keanggotaan selama enam tahun sementara Syed Hamid keluar UMNO pada Jun 2018 dan menyertai Bersatu.
Dr. Asyraf Wajdi juga memberitahu, selaras dengan Fasal 5.2 Perlembagaan UMNO, MKT juga telah membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran secara atas talian.
Langkah itu bagi mempermudahkan kemasukan ahli baharu terutamanya dalam kalangan anak-anak muda.
“Menyedari cabaran kos sara hidup yang dialami oleh rakyat akibat kenaikan harga minyak dan inflasi global disebabkan kesan peperangan di Iran, MKT menyarankan negeri-negeri yang diterajui UMNO khususnya Johor, Melaka, Perak dan Pahang memfokuskan bantuan tambahan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang terkesan,” katanya.
Beliau juga memberitahu, sempena minggu Sambutan 80 Tahun UMNO, beberapa program utama akan dilangsungkan dari 1 Mei hingga 5 Mei 2026 di World Trade Centre, Kuala Lumpur.
Program itu antaranya Konvensyen 80 Tahun UMNO, Kongres Pendidikan Bumiputera, Karnival Keusahawanan dan Pendidikan termasuklah Majlis Khas Ramah Mesra Pemuda dan Puteri UMNO bersama ahli-ahli baharu.
MKT juga memberikan kebenaran kepada sayap-sayap parti Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri untuk mengadakan persidangan peringkat cawangan secara hibrid atau gabungan antara kehadiran secara fizikal dan secara atas talian khususnya dalam tahun yang tiada pemilihan parti.
