KUALA LUMPUR 16 Jan. – UMNO bukan parti tempelan atau pelengkap kepada mana-mana gabungan sebaliknya adalah tiang seri kestabilan negara kepada Kerajaan Perpaduan sekarang, kata Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO itu menegaskan parti itu tidak akan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan selari janji untuk menjamin kestabilan politik negara dan demi rakyat, tetapi, ia bukan bermakna peranan UMNO boleh diketepikan.
“Jangan ingat UMNO parti karipuley, parti daun kari, bila nak masak daun masuk dalam kuali bila dihidang dikuis ketepi,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, permuafakatan yang dibentuk selama 38 bulan ini mesti diiringi dengan keihklasan.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri itu memberi peringatan kepada rakan-rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak cuba mengusik prinsip yang dipegang UMNO selama ini.
“Keberadaan kita dalam Kerajaan Perpaduan, tidak ada usaha tebuk atap, tidak ada usaha tarik brek. Jangan risau, ini Zahidlah, kita setia tapi jangan perkotak-katikkan seluruh kepimpinan UMNO dan ahli UMNO.
“Tapi kalau (UMNO) diusik, saya dan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) lawan tetap lawan. Jangan cuba-cuba yang dijanjikan, nak beri… berilah. Jangan kejap beri kejap berdolak dalih. Cakap depan, jangan pusing-pusing. Kita bila janji, kita buat, bukan janji lain, buat lain
Kerana sejarah UMNO, siapa pun yang jadi presiden, apabila kita jalin persetujuan, hubungan dibina bukan dengan sandiwara. Kerjasama dijalin bukan dengan muslihat dan UMNO pegang prinsip kesetiaan dan mesti dibalas dengan penghormartan dan penghargaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mendedahkan UMNO ada menerima tawaran daripada pihak lain untuk menjalin kerjasama politik, namun tetap mendokong Kerajaan Perpaduan demi melaksanakan amanah negara.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, UMNO akan terus memainkan peranan dengan penuh tanggungjawab selagi asas kenegeraan dihormati.
“Selagi mana asas kenegaraan dihormati, tiada perkara yang dimungkiri, keikhlasan tidak dikhianati. UMNO akan terus memainkan peranannya dengan penuh tanggungjawab sekali pun ribut datang melanda. Pokok condong ditiup angin, namun akarnya tetap mencengkam bumi.
“Jika ada bisikan iblis yang cuba memperlekeh kesetiaan ini, jika kesabaran dianggap kelemahan, jika cemuhan dan perlecehan dihamburkan terhadap keluarga besar UMNO, sesungguhnya tindakan ini seperti menyimbah minyak ke atas api yang sedang marak,” katanya.
Tegasnya, kestabilan politik dicapai sepanjang 38 bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan itu menandakan UMNO sudah memasuki fasa untuk menilai dan menentukan haluan politiknya bagi menuju ambang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU).
Katanya, UMNO mesti bersedia untuk berdepan apa saja kepelikan politik di luar batas kebiasaan, termasuk kerjasama politik berlainan di peringkat Persekutuan dan negeri menjelang PRU16.
Jelasnya, ppengalaman pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) baru-baru ini membuktikan kepelikan politik berkenaan apabila BN memutuskan untuk menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala Pakatan Harapan (PH) yang menjadi rakan BN di peringkat Persekutuan boleh sama pentas dengan GRS.
“Kesudahannya, apabila kerajaan mahu dibentuk, semua pihak duduk semeja atas nama kestabilan politik. Tak ke pelik politik hari ini? Tidak terbayang, andai nanti wujud kerjasama politik antara parti yang berlainan haluan di peringkat negeri dan Persekutuan.
“Mungkin nanti, kerjasama di peringkat Persekutuan tidak dicerminkan dalam kerjasama politik di peringkat negeri kerana kini politik penuh dengan kepelikan. Itulah hakikat politik yang perlu kita hadapi hari ini. Ia menuntut pengorbanan, kefahaman dan kebersamaan semua peringkat.
“Jangan fikir kepentingan diri sendiri, keutamaan kita adalah UMNO sebagai sebuah parti,” katanya.
Nnnn
