KUALA LUMPUR 13 Jan. – Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi menitipkan tiga pesanan pesanan harapan kepada golongan ulama dan ilmuan iaitu pandu, pertimbangan dan pelihara.
Katanya, ulama mesti menjadi penunjuk arah, bukan sekadar pengikut arus, memandu pemikiran masyarakat dengan ilmu yang sahih, hujah yang beradab dan hikmah yang menenangkan.
“Kedua, pertimbangan. Setiap keputusan mesti ditimbang berasaskan Fiqh al-Mīzān dan Fiqh al-Awlawiyyāt, agar kebenaran dilaksanakan dengan kebijaksanaan, tanpa menambah mudarat kepada ummah dan negara.
“Ketiga, pelihara. Gunakan ilmu untuk menjaga agama, ummah dan kestabilan negara. Kerana agama hanya akan subur dalam suasana yang stabil dan dakwah pasti berkembang dalam masyarakat yang tenteram,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian dalam ucapan penutup Multaqa Ilmuan Islam Malaysia 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Multaqa anjuran Majlis Ulama UMNO itu menampilkan ahli panel Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, Mufli Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM, Prof Madya Dr Abdul Manan Isnail.
Hadir sama Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Dr Dusuki Ahmad dan Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Ahmad Zahid dalam ucapannya juga menegaskan peranan besar para ilmuan dan ulama sebagai nurani negara di mana ulama bukan sekadar mengulas hukum, menentukan halal dan haram sebaliknya penjaga etika kuasa dan penentu arah moral negara.
“Para ilmuan dan ulama mesti mampu memimpin fikiran bukan emosi; menimbang antara prinsip dan realiti di dalam mengurus umat dan negara, kita diibaratkan meniti di atas titian, condong ke kiri kita jatuh, condong ke ke kanan kita rebah. Semuanya mesti bil-hikmah,” katanya,
Beliau berkata, seruan kepada kebenaran mesti disampaikan dengan hikmah dan nasihat yang baik, menegur tanpa menghina, menasihati tanpa memecahkan dan menyatukan tanpa memadamkan kepelbagaian.
Atas asbab inilah katanya, Multaqa ini penting, sebagai jambatan hubungan antara kepemimpinan negara dengan ulama.
“Saya amat mengharapkan nasihat yang jujur sebagai bimbingan rohani, teguran yang beradab untuk memperbaiki kelemahan kerajaan serta berhikmah melontarkan pandangan penambah baikan dengan semangat kebersamaan,” katanya.
Dalam hubungan ini beliau memetik kata-kata hikmah Buya Hamka di dalam novelnya berjudul Ayahku:
“Ulama tidak boleh hanya duduk-duduk tafakur dalam surau sambil mengeleng-gelengkan kepala, lalu membilang-bilang tasbih kayu mati. Ulama harus tampil ke muka masyarakat, memimpinnya menuju kebenaran. Dan itulah kewajipan kami!”. Di sinilah pentingnya peranan ulama’ membimbing umara’.
Menurut Ahmad Zahid, realiti umat Islam masa kini menunjukkan syiar agama semakin jelas kelihatan, namun adab dan hikmah semakin terhakis, khususnya dalam wacana awam dan media sosial yang sering dipacu emosi serta slogan politik.
Katanya , ada dalam kalangan umat yang meletakkan agama hanya sebagai identiti luaran, bukan sebagai panduan kehidupan.
“Ada juga pihak yang melihat perbezaan pandangan fiqh sebagai satu pemisah, bukan sebagai kekayaan ilmu. Khilaf ditanggapi sebagai kesesatan, dan kepelbagaian ijtihad dilihat sebagai ancaman.
Ada juga kelompok yang menggunakan agama bukan untuk menyatukan ummah, tetapi untuk mengukuhkan sokongan, membina sentimen ketaksuban dan menajamkan perbezaan.
Inilah kegusaran kita hari ini. Apabila agama dijadikan alat mobilisasi emosi, bukan neraca hikmah,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga menegaskan keperluan untuk menimbang sebelum bertindak, dan berpaksikan lima prinsip utama, pertamanya, mendahulukan kepentingan umum berbanding kepentingan kelompok.
Kedua, mencegah mudarat didahulukan daripada mengejar manfaat; ketiga, Maqasid syariah mesti dijadikan kompas setiap keputusan; Keempat: Adab-ul ikhtilaf meraikan perbezaan pandangan dengan adab.
Dan kelima Siyasah Syar‘iyyah kaedah mengurus dan memelihara agama melalui kestabilan institusi.
Nnn
