Maduro isytihar “Presiden negara saya”

NEW YORK – Nicolas Maduro yang tampil di Mahkamah Persekutuan Manhattan, dengan tegas mengisytiharkan dirinya sebagai “Presiden negara saya” sambil membantah penahanannya.

Presiden Venezuela yang digulingkan selepas ditahan dalam operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pengedaran dadah yang dikenakan ke atasnya.

Ketika diminta menyatakan pengakuan, beliau yang mendakwa diculik menegaskan: “Saya tidak bersalah. Saya seorang yang baik, Presiden negara saya.”

Isterinya, Cilia Flores, yang turut ditahan bersama beliau hujung minggu lalu, juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pengedaran dadah dan senjata.

Beberapa laporan media tempatan melaporkan, peguam Maduro memaklumkan, anak guamnya tidak akan memohon untuk dibebaskan dengan ikat jamin ketika ini, namun kemungkinan berbuat demikian pada masa akan datang.

Perbicaraan seterusnya kes Maduro ditetapkan pada 17 Mac, dengan hakim mengarahkan beliau hadir semula ke mahkamah.

Terdahulu, Maduro dan Flores dibawa ke mahkamah di bawah kawalan bersenjata dari pusat tahanan di Brooklyn.

Hakim Alvin Hellerstein, 92, memaklumkan, perbicaraan penuh akan berlangsung kemudian, sementara peguam Maduro dijangka mencabar kesahan penangkapan itu dengan alasan kekebalan sebagai ketua negara.

Peguam terkenal, Barry Pollack berkata, Maduro berhak mendapat keistimewaan sebagai ketua negara berdaulat dan akan membangkitkan isu “penculikan ketenteraan” yang dilakukan AS.

Maduro dan isterinya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang terkandung dalam dokumen setebal 25 halaman, termasuk dakwaan bekerjasama dengan kartel dadah untuk menyeludup ribuan tan kokain ke AS.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Pertuduhan turut mendakwa pasangan itu mengarahkan penculikan, serangan dan pembunuhan terhadap individu yang berhutang atau mengganggu operasi pengedaran dadah mereka.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment