MELAKA 4 Jan. – Kuasa untuk melantik Exco Kerajaan Negeri Melaka adalah di bawah bidang kuasa Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh, bukannya Dr Muhamad Akmal Saleh, kata Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong.
Beliau membidas desakan Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO itu agar DAP keluar daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Negeri Melaka.
“Saya nak tanya siapa Akmal Saleh? yang ada kuasa untuk melantik Exco adalah Ketua Menteri bukannya beliau,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di Konvensyen Tahunan DAP Melaka ke-25 di Melaka hari ini.
Menurut Poay Tiong, atas semangat Kerajaan Perpaduan yang terbentuk ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 di peringkat Kerajaan Pusat, maka Ab Rauf telah menjemput seorang wakil DAP menyertai barisan Exco kerajaan negeri.
“Atas prinsip tersebut kita menerima dan berhasrat berkhidmat untuk rakyat… jadi apabila anda (penyokong DAP) tanya sekarang – ‘Akmal kata suruh kita keluar daripada Kerajaan Perpaduan’ – saya nak tanya, lu siapa?,” katanya.
Poay Tiong turut menyatakan keputusan melibatkan sokongan terhadap kerajaan hanya ditentukan oleh Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, bukan Ketua Pemudanya.
Ahli Parlimen Kota Melaka itu turut menegaskan DAP tidak gentar untuk bertanding secara bersendirian dan berperanan selaku pembangkang.
“Kita tak takut untuk masuk ke gelanggang sebagai solo… DAP bukannya gila kuasa, tamak jawatan atau ingin sangat kepada jawatan menteri ataupun Exco,” katanya lagi.
Semasa konvensyen khas ‘Hala Tuju UMNO: Kekal Atau Keluar Daripada Kerajaan Perpaduan’ di Kuala Lumpur, semalam, Akmal mencabar DAP agar keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Kenyataan Akmal itu difahamkan disasarkan kepada salah seorang Ahli Parlimen DAP dari Pulau Pinang yang mendesak agar Akmal meletak jawatan daripada barisan Exco dalam Kerajaan Perpaduan di Melaka.
“Jangan lupa parti kamu DAP itu sebahagian daripada kerajaan kami di Melaka, saya cabar DAP letak jawatan dulu,” kata Akmal.
Susulan itu, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka, Allex Seah dari DAP, menerusi satu hantaran di Facebook menyatakan kesediaannya untuk meletakkan jawatan sekiranya Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka dibubarkan.
Nnn
