Baiah: Tunjukkan apa memalukan

SEPANG 29 Dis. – Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman, menafikan dakwaan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bahawa wujudnya lafaz baiah dan sumpah daripada parti itu yang menuntut pemimpinnya menceraikan isteri, jika berlaku perlanggaran.

Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok turut mencabar Mohd Asri menunjukkan perkara yang ‘memalukan’ di dalam teks lafaz baiah dan sumpah terbabit.

“Kepada SS Mufti (1), tunjukkan di mana perkara yang ‘memalukan’ di dalam teks lafaz baiah dan sumpah ini? Tiada di Perlis.

Kita diajar, jangan diadakan perkara yang tiada. Tabayyun, laisa ‘Tibayyun’,” katanya, hari ini.

Mohd Syahir turut memuat naik teks lafaz baiah dan sumpah itu di akaun Facebooknya, yang membuktikan tiada pernyataan yang menuntut mana-mana Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas supaya menceraikan isteri, jika melompat ke parti lain.

Lafaz baiah dan sumpah yang dimuatnaik Mohd Syahir, menyatakan:

1 . Bahawa saya (nama) berikrar untuk patuh kepada hukum Allah dan Rasulnya dan patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

2 . Bahawa saya berbaiah dan bersumpah والله وبالله وتالله. Sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah dipilih menjadi calon dan terpilih menjadi ADUN atau Dewan Rakyat atau dilantik menjadi Senator.

‘Maka saya akan dilaknat oleh Allah, Rasulnya, orang orang yang beriman serta sekalian yang melaknat.

‘Dan segala perbelanjaan saya dengan menggunakan wang elaun ahli dewan yang tersebut adalah haram.

3 . Dan bahawa saya juga bersumpah dengan nama Allah…والله وبالله وتالله untuk meletak jawatan dari menjadi ADUN atau Dewan Rakyat yang terbabit. Apabila kami keluar atau dipecat dari parti.’

Sebelum ini, Mohd Asri mengkritik sumpah baiah yang dikenakan sebuah parti politik terhadap kepemimpinannya yang diketahui umum merujuk kepada Pas mengenai situasi politik di Perlis.

Berdasarkan kenyataan Mohd Asri, beliau menyatakan ‘Timbul isu di Perlis tentang sumpah baiah yang menceraikan isteri. Kamu berpolitik mempertaruhkan isteri. Ini adalah asas bagi pembinaan masyarakat, tapi belum lagi memerintah kita mempertaruhkan isteri kita.

“Ini sesuatu yang serius. Saya mohon maaf kepada teman-teman daripada parti tertentu, tetapi ini sesuatu yang tidak wajar dan memalukan,” kata Mohd Asri.

Polemik itu berlaku selepas berlegar dakwaan beberapa ADUN daripada Pas dan Bersatu menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis sebelum ini yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis.

Tiga ADUN dari Pas itu ialah Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji, sebelum keahlian mereka daripada parti terbabit digugurkan.

Kemelut itu membawa kepada peletakan jawatan Mohd Shukri sebagai Menteri Besar pada Khamis lalu secara sukarela atas alasan kesihatan.

Semalam, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan melantik ADUN Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.

Related posts

Leave a Comment