SEPANG 14 Dis. – Majlis Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Pakatan Harapan (PH) berpegang teguh kepada komitmen asal dalam manifesto untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Dalam satu kenyataan, DAPSY menegaskan bahawa pengiktirafan UEC adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan untuk meneruskan usaha mengiktiraf UEC.
Menurut DAPSY, persefahaman awal telah dicapai iaitu pengiktirafan UEC perlu dilaksanakan bersama dengan usaha untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa kebangsaan sebagai prasyarat utama.
Justeru mana-mana pihak khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi serta wakil rakyat kerajaan perpaduan wajar menyuarakan pandangan berdasarkan fakta, bukannya menyebarkan maklumat tidak tepat mengikut rentak pembangkang.
“DAPSY dengan tegas menyokong pendirian Menteri Pengangkutan merangkap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, bahawa pengiktirafan UEC adalah selari dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, malah turut menjamin hak rakyat untuk menggunakan bahasa ibunda serta meletakkan asas kepada kewujudan dan perkembangan sistem pendidikan pelbagai aliran.
Maka, ini turut menjadi asas perundangan yang membolehkan Sekolah Persendirian Cina beroperasi secara sah selepas mencapai kemerdekaan,”kata kenyataan itu.
DAPSY menegaskan, walaupun Sekolah Persendirian Cina menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama, kurikulumnya turut merangkumi subjek Bahasa Melayu malah, Dong Zong memandang secara positif tentang cadangan untuk menjadikan kewajipan memperoleh kelulusan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu SPM sebagai syarat tambahan bagi pengiktirafan UEC.
“Cadangan ini jelas menunjukkan Dong Zong yang menguruskan Sekolah Persendirian Cina menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka sebarang dakwaan bahawa pengiktirafan UEC mencabar kedudukan Bahasa Melayu adalah tidak benar dan bersifat sensasi politik,” kata DAPSY..
Mengenai kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi bahawa pengiktirafan UEC perlu selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, DAPSY menyeru pihak berkenaan menjelaskan definisi sebenar frasa ‘pengiktirafan sijil UEC’ dahulu.
Tegas DAPSY, Falsafah Pendidikan Negara secara amnya terpakai kepada sekolah kerajaan, namun pengiktirafan sijil UEC tidak bermaksud menjadikan Sekolah Persendirian Cina sebagai sekolah kerajaan.
Sebaliknya, pengiktirafan UEC merupakan usaha mengiktiraf sijil tersebut sebagai kelayakan akademik yang mempunyai kredibiliti antarabangsa, seperti A-Level dan kelayakan akademik antarabangsa lain, bagi membolehkan lepasan sijil UEC untuk memohon kemasukan ke universiti awam.
DAPSY juga menekankan bahawa tahap akademik yang cemerlang dan pengiktirafan antarabangsa UEC tidak boleh dipertikaikan yang selama ini, UEC telah melahirkan ramai bakat cemerlang untuk negara, dan graduannya diterima oleh universiti terkemuka di seluruh dunia.
Justeru DAPSY menggesa semua pihak untuk menilai UEC berdasarkan piawaian akademik, mengiktirafnya sebagai aset penting dalam sistem pendidikan pelbagai aliran negara.
NNNN
