PM ziarah keluarga Bung Moktar

KOTA KINABALU 6 Dis. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim menziarahi keluarga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Allahyarham Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia awal pagi semalam.

Dalam kunjungan itu, Anwar menyampaikan ucapan takziah mewakili Kerajaan Madani kepada seluruh keluarga Allahyarham, dan menyifatkan pemergian Bung Moktar sebagai satu kehilangan besar kepada negeri Sabah serta negara.

“Pemergiannya merupakan kehilangan besar kepada negeri Sabah dan negara, khususnya atas khidmat baktinya yang panjang dalam pentadbiran, siyasah serta perjuangan membela rakyat,” kata Perdana Menteri dalam catatan di Facebooknya.

Anwar turut mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan menghadapi saat sukar itu.

“Semoga keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang mencabar ini, dan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman,” kata beliau.

Menerusi foto yang dikongsi, turut sama Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

Bung Moktar, 66, Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada 1.46 pagi, semalam.

Allahyarham mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 pada 29 November lepas.

Related posts

Leave a Comment