Situasi kemanusiaan amat kritikal

RAMALLAH – Situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza kekal amat kritikal walaupun gencatan senjata berkuat kuasa, lapor Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA)

Menurut UNRWA, Israel menghalang kemasukan kakitangannya dari luar negara dan mengehadkan penghantaran bantuan, menyebabkan kira-kira 6,000 trak makanan terkandas di kawasan lintasan.

Dalam satu kenyataan, agensi itu mengesahkan bahawa lebih 90 peratus penduduk Gaza bergantung sepenuhnya kepada bantuan, dengan ramai hanya menerima satu hidangan setiap 24 jam.

Purata 170 trak memasuki Gaza setiap hari, jumlah yang jauh di bawah keperluan minimum untuk memenuhi keperluan asas, manakala UNRWA kini menguruskan 100 pusat perlindungan yang menempatkan lebih 80,000 penduduk yang dipindahkan.

Dalam pada itu, UNRWA turut terus menyediakan perkhidmatan pembelajaran jarak jauh kepada kira-kira 300,000 pelajar dan pendidikan bersemuka kepada 50,000 pelajar dalam keadaan serba kekurangan dan penuh tekanan.

Kira-kira 44,000 kanak-kanak di Semenanjung Gaza mengikuti pembelajaran dalam keadaan yang sukar di 330 ruang pembelajaran sementara yang ditempatkan di 59 pusat perlindungan.

Ramai kanak-kanak terpaksa duduk di atas lantai yang sejuk kerana ketiadaan meja dan kerusi, sekali gus menyukarkan proses pembelajaran serta menjejaskan rasa keselamatan dan kestabilan mereka.

Agensi itu menyatakan bahawa penyediaan keperluan asas seperti meja dan kerusi bukan sahaja manfaat fizikal tetapi juga memberi rasa stabil dan harapan kepada kanak-kanak untuk masa depan yang lebih baik selepas konflik.

Dari aspek kesihatan, klinik menerima 15,000 pesakit setiap hari di tujuh pusat kesihatan dan 35 titik perubatan bergerak.

NNNN

Related posts

Leave a Comment