SEPANG 22 Sept. – Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, akan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya Cik Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz pada hari Khamis, 2 Oktober depan.
Menurut kenyataan Selangor Royal Office hari ini, Istiadat Pernikahan Diraja akan diadakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah di Klang.
“Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober,” kata kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, satu majlis bacaan Yasin dan doa selamat akan diadakan pada 25 September di seluruh masjid di negeri Selangor yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor.
Majlis itu bagi memohon doa semoga Istiadat Perkahwinan dan Majlis yang dirancang akan dapat berjalan dengan lancar dan sempurna serta mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
“Pada tarikh berkenaan juga Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor turut berkenan berangkat ke Majlis Doa Selamat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri),” kata kenyataan itu.
Nnn
