Negara Barat iktiraf Palestin

LONDON – Britain, Australia, Kanada dan Portugal mengiktiraf Negara Palestin, satu langkah bersejarah dalam dasar luar Barat sejak beberapa dekad lalu yang disambut baik rakyat Palestin tetapi mencetuskan kemarahan Israel.

Beberapa negara lain termasuk Perancis dijangka mengikut jejak itu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyifatkan desakan pengiktirafan Palestin sebagai ‘tidak masuk akal’ dan mendakwa ia bakal ‘mengancam kewujudan’ Israel.

Sambil menegaskan negara Palestin tidak akan wujud, beliau malah berikrar memperluas penempatan Yahudi di Tebing Barat yang diduduki sejak 1967 dan tiada negara Palestin akan ditubuhkan di sebelah barat Sungai Jordan.

Pengumuman Britain dibuat selepas Perdana Menterinya, Keir Starmer berkata negara itu mengiktiraf Palestin ‘bagi mengembalikan harapan keamanan kepada rakyat Palestin dan Israel serta penyelesaian dua negara’.

Britain dan Kanada menjadi anggota pertama kumpulan negara maju G7 mengambil langkah berkenaan.

Langkah berkenaan dilihat sebagai detik penting bagi rakyat Palestin dan aspirasi mereka menubuhkan negara sendiri, selepas kuasa besar Barat sekian lama berpendirian pengiktirafan hanya wajar dibuat melalui rundingan damai dengan Israel.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata langkah itu ‘mengiktiraf aspirasi sah dan sudah lama diperjuangkan rakyat Palestin,’ manakala Menteri Luar Portugal, Paulo Rangel menegaskan penyelesaian dua negara ‘satu-satunya jalan ke arah keamanan adil dan berkekalan’.

Di Gaza, ramai melihat pengiktirafan itu sebagai pengesahan kewujudan mereka selepas hampir dua tahun peperangan antara Israel dan Hamas.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas menyifatkan pengiktirafan itu sebagai ‘langkah penting dan perlu ke arah mencapai keamanan adil serta berkekalan’.

Meskipun lebih bersifat simbolik, langkah itu meletakkan empat negara berkenaan bercanggah dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Minggu lalu, Presiden AS, Donald Trump, berkata selepas pertemuan dengan Starmer, ‘salah satu daripada beberapa perbezaan kami’ ialah mengenai penubuhan negara Palestin.

Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menegaskan dalam temu bual dengan stesen televisyen AS, meskipun Perancis sedang bergerak ke arah pengiktirafan, pembebasan tebusan yang ditahan Hamas pada 2023 adalah ‘syarat jelas sebelum ia boleh membenarkan pembukaan kedutaan di Palestin’.

Starmer pula berkata, negaranya bertindak ‘berdepan kengerian semakin meningkat di Asia Barat’ dan sekali lagi menggesa gencatan senjata dan menuntut Hamas membebaskan baki tebusan Israel.

Melabelkan Hamas sebagai ‘organisasi pengganas kejam’, Starmer turut mengumumkan rancangan memperkukuh sekatan terhadap kumpulan itu sambil menegaskan pengiktirafan Palestin bukanlah ‘ganjaran’.

Nnn

Related posts

Leave a Comment