NEW YORK – Israel terus dilindungi sekutunya apabila Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menggunakan kuasa veto bagi menggagalkan gesaan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya gencatan senjata dilaksanakan di Gaza.
Semua 14 anggota lain UNSC menyokong resolusi yang dibentangkan pada Ogos lalu, susulan pengisytiharan rasmi PBB mengenai kebuluran selepas hampir dua tahun perang Israel terhadap Hamas di wilayah Palestin itu.
Ketika undian dibuat, kereta kebal dan jet pejuang Israel terus mengebom bandar Gaza, yang menjadi sasaran serangan darat besar-besaran, memaksa penduduk Palestin melarikan diri ke selatan.
Veto terdahulu oleh AS mencetuskan kemarahan luar biasa daripada 14 anggota lain Majlis itu yang semakin lantang menyuarakan kekecewaan berhubung kegagalan memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan penderitaan rakyat Gaza.
Selasa lalu, suruhanjaya penyiasatan antarabangsa yang diberi mandat PBB mengeluarkan analisis bebasnya, menuduh Israel melakukan ‘genosid’ di Gaza sejak Oktober 2023 dengan niat untuk ‘memusnahkan’ rakyat Palestin.
Isu itu dijangka menjadi tumpuan utama sidang kemuncak tahunan PBB minggu depan di New York.
