Putra bantah pilihan raya kerajaan tempatan

SEPANG 30 Ogos – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dengan tegas membantah cadangan pelaksanaan semula pilihan raya kerajaan tempatan (PRKT) di bandar-bandar utama negara, khususnya di Wilayah Persekutuan.

Ketua Penerangannya Shahrulufti Sharif berkata, pendirian itu bukan bersifat emosi atau retorik politik, tetapi berasaskan analisis struktur demografi dan realiti sosio-ekonomi semasa yang menunjukkan ketidakseimbangan dalam penguasaan bandar.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, kajian dan data rasmi menunjukkan bahawa hampir 80 peratus pemilikan hartanah, aktiviti ekonomi dan pengaruh pentadbiran bandar tertumpu kepada satu kelompok etnik.

Dalam keadaan ini, pelaksanaan PRKT berisiko mengukuhkan dominasi politik dan ekonomi secara berpanjangan, sekali gus menjejaskan prinsip keterangkuman, keadilan sosial dan keharmonian kaum yang menjadi asas negara ini,” katanya.

Baru-baru ini Ahli-Ahli Parlimen Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) menggesa Kuala Lumpur melaksanakan reformasi tadbir urus bandar raya dengan memberi ruang semak dan imbang melalui pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Gesaan tersebut disuarakan susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu tanah di ibu negara.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, BBC Kuala Lumpur menyokong laporan PAC, termasuk cadangan mengembalikan jawatan Pengerusi Wilayah Persekutuan kepada menteri yang bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Putra berpandangan bahawa PRKT tidak menjamin representasi nasional yang seimbang, kerana pengundi bandar tidak mencerminkan kepelbagaian kaum dan wilayah Malaysia secara menyeluruh.

Begitu juga struktur sosial bandar masih belum inklusif, dengan jurang pemilikan aset dan akses kepada peluang pembangunan yang ketara antara kaum.

Di samping itu, pelaksanaan PRKT dalam konteks semasa boleh mengakibatkan ketidakseimbangan kuasa tempatan, yang akhirnya menjejaskan dasar nasional yang bersifat menyeluruh dan adil.

“Alternatif yang lebih berkesan ialah reformasi pentadbiran PBT melalui pelantikan berasaskan merit, audit terbuka dan penyertaan komuniti secara inklusif, tanpa perlu bergantung kepada PRKT yang berisiko dipolitikkan,” katanya.

Putra juga menegaskan bahawa demokrasi bukan sekadar pemilihan, tetapi soal keadilan dalam penyertaan dan pengagihan kuasa.

“Kami menolak sebarang usaha tergesa-gesa yang tidak mengambil kira realiti rakyat dan keseimbangan kaum.

Putra menyeru semua pihak agar tidak terperangkap dalam naratif sempit yang melihat PRKT sebagai simbol demokrasi mutlak, sedangkan pelaksanaannya dalam konteks semasa boleh menjejaskan kestabilan sosial dan keharmonian negara,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment