RON95 : MCMC siasat penafian Muhyiddin

SEPANG 6 Ogos – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan segera dan sewajarnya berhubung satu dakwaan yang dinafikan oleh Ahli Parlimen Pagoh  Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil maklum kenyataan media Pejabat Perdana Menteri supaya siasatan dijalankan berhubung satu dakwaan yang telah dinafikan Ahli Parlimen Pagoh.

MCMC mengingatkan orang ramai untuk tidak menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih,” kata MCMC.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan MCMC menyiasat penafian Muhyiddin, berhubung dakwaan mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

“Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengambil maklum kenyataan penafian itu. Sebagai kerajaan yang menjunjung ketelusan dan bertanggungjawab, Perdana Menteri mengarahkan MCMC menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya,” kata kenyataan dikeluarkan PMO, hari ini.

Dalam Sidang Dewan Rakyat semalam, Anwar dilaporkan berkata, beliau menerima laporan ada ahli Parlimen pembangkang mempertahankan hak warga asing dalam mendapat manfaat penyelarasan subsidi.

Anwar dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri meminta pembangkang membaca kenyataan Muhyiddin yang didakwanya mempersoalkan tindakan kerajaan membebankan orang asing dalam penyasaran subsidi RON95.

Menteri Kewangan itu merujuk kepada Muhyiddin sebagai reaksi terhadap pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu) yang meminta beliau menjelaskan siapakah Ahli Parlimen yang didakwa mempertahankan kebajikan warga asing susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.

Susulan kenyataan itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menerusi satu perkongsian di media sosialnya menafikan beliau pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang membawa maksud mempertahankan hak warga asing dalam penyasaran subsidi RON95.

Beliau berkata Perikatan Nasional (PN) konsisten sejak dahulu bahawa manfaat pelaksanaan subsidi harus diberikan keutamaan terhadap kepentingan rakyat dan meminta Perdana mengemukakan bukti berhubung dakwaan itu.

“Saya sebenarnya tidak pernah cakap begitu. Saya mempertikaikan dengan sekeras-kerasnya kenyataan itu sebagai satu kenyataan berfitnah atau pembohongan.

“Apatah lagi yang memberikan penjelasan itu ialah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di dalam Parlimen,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment