Keputusan Israel dapat kecaman

RAMALLAH – Keputusan terbaharu Israel untuk memperkukuh kawalan ke atas Tebing Barat serta memperluaskan penempatan Yahudi, mendapat kecaman beberapa negara Arab dan Islam.

Naib Presiden Palestin Hussein al-Sheikh dalam satu kenyataan menggesa Majlis Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan  “keputusan berbahaya” pihak berkuasa Israel.

Beliau menegaskan perlunya pendirian antarabangsa yang bersatu untuk mengecam langkah itu dan menuntut ia ditarik balik dengan segera.

Dalam pada  itu, menteri luar dari lapan negara Arab dan Islam mengutuk sekeras-kerasnya keputusan serta tindakan “haram” Israel yang bertujuan mengukuhkan aktiviti penempatan berkenaan.

Dalam satu kenyataan bersama, menteri-menteri luar dari Mesir, Jordan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Indonesia, Pakistan, Turkiye, Arab Saudi, dan Qatar menegaskan bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki.

Mereka memberi amaran terhadap penerusan “dasar peluasan wilayah Israel” serta langkah-langkah haram yang diambil oleh Israel di Tebing Barat yang diduduki, sambil menyuarakan “penolakan mutlak terhadap tindakan haram berkenaan.”

Menteri-menteri itu berkata langkah Israel tersebut merupakan pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan menjejaskan pendekatan penyelesaian dua negara, selain menambah bahawa tindakan sedemikian turut menggugat usaha untuk keamanan dan kestabilan di rantau itu.

Kenyataan itu turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk memenuhi tanggungjawab undang-undang serta moral mereka dan memaksa Israel menghentikan peningkatan ketegangan yang berbahaya di Tebing Barat.

Kabinet keselamatan Israel pada Ahad meluluskan beberapa keputusan yang bertujuan mengubah status undang-undang serta sivil di Tebing Barat dan memperkukuh kawalan Israel ke atas wilayah berkenaan.

Antara yang diluluskan termasuk untuk memansuhkan undang-undang yang melarang penjualan tanah kepada orang Yahudi, menghapuskan keperluan permit transaksi khas, dan menghidupkan semula jawatankuasa pemerolehan tanah negara yang tidak aktif selama kira-kira dua dekad.

Related posts

Leave a Comment