WASHINGTON – Anak-anak kepada tokoh media Hong Kong, Jimmy Lai, 78 merayu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump serta pemimpin dunia lain mendesak Beijing membebaskan bapa mereka, yang mengalami kemerosotan tahap kesihatan.
Lai dijatuhi hukuman 20 tahun penjara selepas mahkamah di Hong Kong mendapati dia bersalah di bawah undang-undang keselamatan negara yang digubal Beijing – undang-undang yang dikritik kerana mengekang suara pembangkang di wilayah itu.
Menurut anaknya, Sebastien Lai, Trump sebelum ini menyatakan beliau mengambil berat tentang kes tersebut, sambil menyifatkan kemungkinan lawatan Presiden AS ke Beijing pada April sebagai “sangat penting” dalam usaha membebaskan ayahnya.
Sebastien turut menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan fizikal bapanya.
Katanya, Jimmy Lai kini semakin uzur selepas lebih lima tahun ditahan dan melalui proses perbicaraan yang berlarutan.
Hukuman terbaharu itu dijangka meningkatkan lagi ketegangan hubungan AS-China pada ketika kedua-dua negara dijangka meneruskan rundingan mengenai isu perdagangan, sekatan eksport serta penjualan senjata AS kepada Taiwan.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menyifatkan hukuman 20 tahun ke atas Lai sebagai “tidak adil dan tragis” sambil menggesa Beijing memberi parol atas faktor kemanusiaan.
Trump pula sebelum ini pernah meminta Presiden China, Xi Jinping mempertimbangkan pembebasan Lai yang juga pengasas akhbar Apple Daily – penerbitan yang terkenal dengan laporan kritikal terhadap kerajaan Hong Kong dan Beijing sebelum ia ditutup.
Di United Kingdom, Perdana Menteri, Keir Starmer dilaporkan telah membangkitkan isu Jimmy Lai secara langsung kepada Xi dalam kunjungan beliau ke China bulan lalu.
Sebastien bagaimanapun tetap menaruh harapan bahawa tekanan antarabangsa dapat menyelamatkan nyawa bapanya menyifatkan hukuman itu pada dasarnya “sama seperti hukuman seumur hidup”,.
Nnn
