Pemuda UMNO tawar khidmat guaman

SEPANG 8 Feb. – Pergerakan Pemuda UMNO menawarkan khidmat guaman percuma terhadap individu yang ditahan dalam himpunan aman Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) berhampiran pusat beli-belah Sogo di sini, malam tadi.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata pihaknya difahamkan beberapa individu ditahan oleh pihak berkuasa dalam perhimpunan itu dan dijangka akan didakwa di mahkamah pada bulan depan.

“Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO ingin menawarkan perkhidmatan peguam Pemuda UMNO secara percuma bagi mereka yang akan didakwa atas himpunan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, 19 individu dipercayai peserta himpunan itu ditahan termasuk penyelaras GARAH, Zamri Vinoth dan peguam, Haniff Khatri. Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, hanya dua ditahan untuk mendapatkan perintah reman iaitu Zamri dan Pengasas TanahMalaya.Com, Tamim Dahari Abdul Razak, manakala yang lain dibebaskan.

Perhimpunan aman itu dengan sokongan 141 pertubuhan bukan kerajaan adalah bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah anutan haram yang didakwa semakin berleluasa.

Akmal dalam pada itu menegaskan hak rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Seperti mana pihak pembangkang sebelum ini menuntut hak rakyat untuk berhimpun, sepatutnya hak itu perlu dipertahankan juga ketika mereka menerajui kerajaan pada hari ini, dan bukan dengan menakutkan rakyat dengan kuasa yang ada pada kamu!

“Sepatutnya tahan orang yang menceroboh tanah, bukan tahan orang yang mempertahankan pencerobohan!!,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, berkata tempoh reman ke atas dua individu itu dibenarkan bermula hari ini bagi tujuan membantu siasatan.

Beliau mengesahkan Zamri dan Tamim Dahari antara 19 ditahan pihaknya malam tadi di lokasi sekitar pusat beli-belah Sogo, lokasi yang dijadual berlangsung himpunan GARAH.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment