Kerjasama penjagaan kesihatan, perubatan

PUTRAJAYA 8 Feb. – Malaysia dan India komited untuk meneruskan kerjasama dalam penjagaan kesihatan dan perubatan tradisional serta meneroka inisiatif kesihatan bersama bagi menangani keperluan perubatan kritikal di seluruh rantau ini.

Perdana Menteri  Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari India Narendra Modi berkata kerjasama itu mencerminkan aspirasi bersama kedua-dua negara untuk memajukan penjagaan kesihatan yang mampu dibayar, mudah diakses dan berpaksikan rakyat.

“Malaysia kekal komited bagi sebarang perancangan yang diperlukan untuk membolehkan penghantaran pakar Perubatan Tradisional India (TIM) ke Malaysia di bawah Program Kerjasama Teknikal dan Ekonomi India (ITEC) pada masa hadapan, dan rundingan sedang giat dijalankan dengan India,” demikian menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri, di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, langkah tersebut dijangka dapat memudahkan penyambungan semula perkhidmatan TIM di hospital terpilih Kementerian Kesihatan Malaysia selain melengkapi perubatan alopati bagi menyokong usaha Malaysia melaksanakan model penjagaan kesihatan bersepadu dan holistik.

Kedua-dua pemimpin juga mengetengahkan kerjasama dua hala berterusan dalam penjagaan kesihatan dan perubatan mampu dibayar serta mengalu-alukan perbincangan mengenai pengukuhan kerjasama dalam pengawalseliaan ubat, pengiktirafan bersama standard farmakopoeia dan perkhidmatan kejururawatan.

Related posts

Leave a Comment