KUALA LUMPUR 8 Feb. – Semua pihak bertanggungjawab menjaga ketenteraman dan keselamatan awam di negara ini termasuk tidak bermain dengan isu 3R (raja, agama, kaum), kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus.
Katanya, masyarakat perlu tahu, menjaga ketenteraman dan keselamatan awam adalah tanggungjawab semua bukan semata-mata di bawah pihak berkuasa sahaja.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai tidak sesekali menyentuh isu 3R demi kesejahteraan negara dengan mengingatkan sensitiviti yang boleh berbaur hasutan akan menggugat ketenteraman awam dan keselamatan orang ramai.
Beliau menjelaskan, keputusan melarang penganjuran himpunan Gerakan Anti Rumah Ibadat Haram (GARAH) dibuat selepas pertimbangan menyeluruh membabitkan risikan keselamatan.
“Tindakan itu juga mengambil kira kestabilan negara termasuk ketika Malaysia menerima tetamu negara.
“Antara pertimbangan utama adalah memastikan keadaan negara kekal stabil dan tidak berlaku sebarang gangguan ketenteraman awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Fadil berkata, sebarang cadangan atau pandangan berkaitan pembinaan rumah ibadat perlu disalurkan melalui saluran yang betul dan bukan melalui perhimpunan jalanan.
“Malah sekiranya berlaku pembinaan rumah-rumah ibadat di tanah yang tidak dibenarkan polis juga akan memberi kerjasama penuh sekiranya mendapat perintah mahkamah untuk menyuraikan atau mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Nnnn
