TEBING BARAT – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dijaudalkan bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, di Washington pada Rabu bagi membincangkan isu rundingan dengan Iran.
Menurut kenyataan pejabat perdana menteri, Netanyahu percaya, sebarang rundingan mesti merangkumi sekatan terhadap peluru berpandu balistik serta penghentian sokongan terhadap proksi Iran.
Ini menjadikan pertemuan Rabu ini sebagai pertemuan keenam antara kedua-dua pemimpin sejak Trump memegang jawatan setahun lalu.
Iran dan AS sudah mengadakan rundingan di Oman pada Jumaat, dimana Trump kemudiannya memaklumkan rundingan itu akan disambung semula pada awal minggu hadapan.
Israel sudah mengambil pendirian yang lebih tegas dengan menentang rundingan antara Tehran dan Washington.
Sementara itu, Qatar menyatakan harapan agar rundingan antara Iran dan AS akan menghasilkan perjanjian komprehensif yang menyumbang kepada peningkatan keselamatan dan kestabilan di rantau itu,
Menurut Kementerian Luar Qatar, harapan itu dibuat semasa pertemuan antara Menteri Luar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani dan rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi, yang kini sedang dalam rangka lawatan ke Doha.
Kedua-dua menteri membincangkan usaha berterusan untuk meredakan ketegangan di rantau berkenaan, sehari selepas berakhirnya rundingan tajaan Oman antara Washington dan Tehran mengenai isu nuklear.
Sheikh Mohammed menyambut baik rundingan yang diadakan di Muscat, sambil menyatakan harapan agar ia “membawa kepada perjanjian komprehensif yang memenuhi kepentingan kedua-dua pihak serta memperkukuh keselamatan dan kestabilan serantau.”
Beliau turut menekankan “keperluan untuk usaha bersepadu bagi mengelakkan rakyat di rantau ini daripada menanggung akibat daripada ketegangan yang memuncak, selain meneruskan penyelarasan dengan negara-negara saudara dan sahabat untuk mengatasi perbezaan melalui saluran diplomatik.”
Nnnn
