3 bekas ADUN cabar pengosongan kerusi

KANGAR 2 Jan. – Politik Perlis terus bergelora apabila tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang hilang jawatan wakil rakyat selepas dihentikan keahlian parti mencabar keputusan mengisytiharkan kekosongan luar jangka kerusi mereka.

Mereka memfailkan saman pemula terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis memohon keputusan pengosongan tiga kerusi DUN diwakili adalah di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif.

Tiga wakil rakyat itu adalah ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji); Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping).

Keahlian mereka dalam Pas diberhentikan pada 24 Disember lalu sehingga menyebabkan Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan mengumumkan kerusi DUN yang diwakili mereka perlu dikosongkan.

Dalam satu kenyataan media bersama hari ini, mereka menegaskan pengumuman Speaker bertarikh 25 Disember lalu itu dibuat di luar bidang kuasa yang diperuntukkan.

“Dalam hal ini, kami menghormati pandangan Speaker tetapi berpendapat keputusan mengisytiharkan kekosongan kerusi itu adalah ‘terkhilaf dan berada di luar aturan’.

“Susulan itu, kami mengambil tindakan memfailkan saman pemula terhadap Speaker sebagai defendan pertama dan DUN Perlis sebagai defendan kedua bagi menuntut mahkamah membatalkan pengisytiharan itu,” kata kenyataan itu.

Menurut mereka, tindakan berkenaan diambil demi kebajikan rakyat kerana ketiadaan wakil rakyat selama hampir dua tahun sebelum pilihan raya negeri seterusnya dianggap menjejaskan kepentingan pengundi di kawasan terbabit.

“Kami menuntut pengisytiharan yang dibuat defendan pertama adalah di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif. Selain itu, kami memohon relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah,” kata kenyataan itu.

Mereka berkata tindakan saman itu difailkan melalui peguam, Mohd Jamil Yaacob daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment