ALOR SETAR 29 Dis – Pas mengajak ahli dan penyokong UMNO bekerjasama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) bagi memperkukuh perpaduan ummah dan menjamin kestabilan politik negara.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Pas sentiasa terbuka menerima sokongan ahli UMNO yang ingin bersama perjuangan parti itu walaupun mereka masih dalam struktur dan organisasi UMNO.
“Kita ajak kawan-kawan kita dalam UMNO. Kita alu-alukan orang UMNO yang mahu bersama kita dalam Pas. Walaupun mereka masih dalam UMNO, berorganisasi dalam UMNO dan ketua mereka pemimpin UMNO, kita percaya khususnya orang UMNO di Sik yang celik dan cerdik akan tahu siapa yang hendak diundi.
“Dalam PRU16 nanti, saya yakin mereka akan bersama Pas,” kata Menteri Besar yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Sik dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah dalam kenyataan semalam.
Muhammad Sanusi berkata, hubungan baik yang pernah terjalin antara ahli Pas dan UMNO sebelum ini perlu diteruskan dalam suasana saling menghormati.
Katanya, pengalaman ketika kedua-dua parti bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) membuktikan perbezaan parti tidak menghalang kebersamaan dalam masyarakat.
“Masa MN dulu, kenduri rumah orang UMNO, orang Pas yang sampai awal walaupun kenduri itu kenduri UMNO. Kita jadi kawan macam adik-beradik ketika itu. Suasana itu boleh diwujudkan kembali,” katanya.
Menurut Sanusi, kesatuan dalam kalangan umat Islam harus terus diperkukuh kerana mereka berkongsi asas yang sama.
“Kita sekampung, diibaratkan adik-beradik. Kita harap perkara itu berkekalan kerana kita semua satu akidah, satu kiblat dan satu kariah. Kita tidak pilih bulu, kita beri layanan yang sama dan adil kepada semua parti” katanya mengajak semua ahli Pas terus bekerja kuat untuk memenangkan parti pada PRU16.
Khamis lalu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mencadangkan supaya PN dibubarkan dan MN diwujudkan semula susulan perkembangan politik semasa di Perlis.
Cadangan itu disambut baik Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menyatakan parti itu bersedia mempertimbangkan cadangan berkenaan dengan syarat UMNO-BN mengisytiharkan keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).
Nnnn
