KUALA LUMPUR 14 Okt. – Ahli Parlimen Bersatu Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian selama satu penggal.
Lembaga Disiplin Bersatu turut memecat empat lagi pemimpin akar umbi Bersatu iaitu, Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.
Pemecatan dan penggantungan itu adalah susulan isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini.
Mereka sebelum ini didakwa terbabit mengumpul SD dalam kalangan ketua bahagian di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepemimpinan kepada Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin.
Kedudukan Wan Saiful dan Ahmad Fayhsal sebagai Ahli Parlimen bagaimanapun tidak terjejas memandangkan pemecatan keahlian dalam mana-mana parti tidak tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya undang-undang bertukar parti.
Dalam satu kenyataan hari ini, lembaga disiplin itu memaklumkan, mereka yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan dijatuhi hukuman berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari.
“Lembaga Disiplin sudah membuat keputusan berdasarkan siasatan yang dijalankan serta pertimbangan yang sewajarnya tanpa melibatkan mana-mana campur tangan pihak lain, bebas dan tidak berat sebelah,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Lembaga Disiplin sudah membuat keputusan berdasarkan siasatan yang dijalankan serta pertimbangan yang sewajarnya tanpa melibatkan mana-mana campur tangan pihak lain, bebas dan tidak berat sebelah.
Lembaga Disiplin memaklumkan bahawa tindakan terhadap mereka diambil kerana kesalahan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
“Lembaga Disiplin sudah menerima aduan bertulis daripada ahli parti terhadap responden berhubung pelanggaran peruntukan perlembagaan dan tatakelakuan ahli parti.
“Sehubungan itu, Lembaga Disiplin mengambil tindakan menyiasat aduan dan memanggil responden untuk satu sesi pendengaran pada 8 Oktober lalu dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan FASAL 22.5 Perlembagaan Bersatu,” katanya.
Katanya, Lembaga Disiplin sentiasa bertindak secara telus, adil dan berlandaskan perlembagaan parti, selain menggesa kepada ahli parti supaya mematuhi Perlembagaan dan Peraturan Kod Etika & Tatakelakuan Ahli demi menjaga nama baik Bersatu.
“Lembaga disiplin juga menyeru kepada semua ahli Bersatu supaya mematuhi perlembagaan dan peraturan demi menjaga nama baik parti,” katanya.
Nnnnn