Jangan pula kita ‘lebih Hamas daripada Hamas’

KUALA LLUMPUR6 Okt.  –  “Hamas sendiri menyambut baik pelan 20 perkara Donald Trump untuk Gaza, mengapa pula kita tidak boleh menyokong atau membantu memperkukuh kedudukan ini?,” kata Timbalan Menteri Luar, Mohamad Alamin

Justeru beliau menasihatkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) tidak menjadi ‘lebih Hamas daripada Hamas’ dalam menilai isu kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), sempena Sidang kemuncak ASEAN ke-47 di sini.

“Janganlah kita ‘lebih Hamas daripada Hamas’, sebaliknya kita perlu menumpukan usaha untuk memberi sumbangan secara konstruktif dan menyokong inisiatif ke arah keamanan di Palestin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal sama ada keputusan Malaysia menjemput Trump ke sidang kemuncak itu bermakna negara berkompromi dengan prinsipnya, Mohamad berkata, AS adalah antara pelabur terbesar di Malaysia dan juga rantau ASEAN.

Katanya , Malaysia mempunyai tanggungjawab rasmi untuk menjemput semua rakan dialog ASEAN ke sidang kemuncak itu, selain mengulangi bahawa tindakan menjemput Trump itu dibuat atas kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN dan bukannya sebagai negara individu atau atas dasar dua hala.

“Walaupun kita tetap prihatin terhadap keadaan di Palestin, kita juga mesti menilai manfaat yang lebih luas, termasuk hubungan perdagangan dan pelaburan, yang dari sudut ekonomi mempunyai kepentingan besar,” katanya.

Beliau turut menegaskan dengan pendirian tegas Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Mohamad Hasan terhadap isu Palestin, Malaysia kekal optimis bahawa Trump bersama negara-negara sehaluan seperti Qatar dan Mesir akan terus mencari jalan ke arah keamanan di Palestin.

Menurut Mohamad, kehadiran Trump akan membuka ruang kepada Malaysia untuk menyuarakan kebimbangan dan pandangan, serta menekankan kepentingan kerjasama antara Malaysia, ASEAN dan Amerika Syarikat dalam usaha mencapai penubuhan negara Palestin yang merdeka dan pembangunan semula Gaza.

“Oleh itu, seperti yang saya katakan kepada Machang (Wan Fayhsal), janganlah kita lebih Hamas daripada Hamas,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), Mohamad berkata pelan damai Trump berupaya menyaksikan pemberhentian pengeboman, genosid dan kemusnahan yang melanda bumi Gaza.

Bagaimanapun apa yang penting dari pelan ini, ia akan membuka ruang bahawa masyarakat dunia dapat menyalurkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza sekalipun ada beberapa perkara yang perlu dilihat semula.

“Terdapat kebimbangan dalam kalangan kita dan beberapa negara, ada ‘loophole’ di sana. Kita ingin perdamaian secara total dan Hamas juga berpendapat pengunduran secara menyeluruh oleh tentera Israel daripada Gaza.

Kita juga mahu masa depan ditentukan oleh rakyat Palestin. Itu perkara yang tidak disebut dalam pelan Trump itu,” katanya.

Menjawab soalan asal Syed Ibrahim, beliau menegaskan Malaysia kekal konsisten dengan pendekatan dasar luarnya yang berteraskan antara lain kepada prinsip keadilan sejagat, penolakan sebarang bentuk kezaliman serta sokongan penuh kepada perjuangan rakyat Palestin.

Nnn

Related posts

Leave a Comment