BANGKOK – Lapan syarat utama dikemukakan Thailand untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) bersama Kemboja minggu ini, bagi mengukuhkan gencatan senjata, menamatkan konflik serta memelihara keamanan antara kedua-dua negara.
Timbalan Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Nattaphon Narkphanit berkata syarat-syarat itu dibentangkan semasa hari kedua perbincangan antara Sekretariat GBC Thailand dan rakan sejawat dari Kemboja.
“Lapan syarat yang dicadangkan oleh Thailand ini adalah berdasarkan perjanjian terdahulu dengan matlamat menyelesaikan pertikaian dan memupuk keamanan antara kedua-dua negara.
“Sekiranya Sekretariat GBC Kemboja menerima cadangan ini, ia akan dibawa ke Mesyuarat Peringkat Menteri Pertahanan yang dijadualkan pada 7 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan semalam yang dikeluarkan Jabatan Perhubungan Awam Thailand.
Nattaphon berkata mana-mana syarat yang diterima oleh pihak Kemboja akan dibincangkan dalam mesyuarat yang sedang berlangsung, manakala isu yang belum dipersetujui – jika ditangguhkan – perlu selaras dengan objektif strategik Thailand.
“Isu seperti pelanggaran gencatan senjata oleh pihak Kemboja yang dilaporkan juga akan dibangkitkan dalam mesyuarat akan datang.
Kehadiran negara pemerhati pihak ketiga akan membantu memastikan sebarang pelanggaran oleh pihak Kemboja dapat diteliti oleh pihak antarabangsa,” katanya.
Nattaphon menegaskan bahawa Thailand akan terus berwaspada dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan serta memberi jaminan bahawa delegasi Thailand tidak akan berkompromi terhadap kepentingan negara dalam rundingan itu.
Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menyatakan bahawa pertikaian sempadan yang berlarutan antara Thailand dan Kemboja dijangka dapat diselesaikan pada Khamis ini menerusi mesyuarat GBC.
Anwar berkata Menteri Pertahanan kedua-dua negara akan menghadiri mesyuarat itu untuk mencapai persefahaman bersama, sekurang-kurangnya bagi mengekalkan atau mengesahkan semula gencatan senjata dan memastikan tiada lagi sebarang pelanggaran baharu, terutamanya di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Anwar pada 28 Julai lalu.
Dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai bersetuju untuk mengadakan mesyuarat GBC sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.
Nnn
