KUALA LUMPUR 14 Nov. – Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran, fahaman dan pegangan ahli GISBH Holdings (GISBH) adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Pengerusinya, Datuk Nooh Gadot, berkata mesyuarat jawatankuasa itu yang bersidang pada 24 hingga 26 September lalu, yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan oleh penyelidik mengenai GISBH.
Beliau menjelaskan bahawa ajaran yang dibawa oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan pengikutnya atau mana-mana orang daripada syarikat, firma, pertubuhan, persatuan atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya atau mana-mana individu lain yang mempunyai ciri-ciri penyelewengan adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Katanya, ciri penyelewengan daripada ajaran agama Islam itu ialah Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/Sheikh Muhammad Suhaimi adalah Imam Mahadi, Asaari Muhamad akan muncul bersama Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi sebagai pembantu di akhir zaman, Asaari Muhamad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya.
Dalam kenyataannya, beliau berkata, ciri penyelewengan lain ialah air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat.
GISBH turut mengamalkan ekonomi ma’ash yang mempunyai unsur perhambaan yang mana keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah, atau mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat.
Sehubungan itu, katanya mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman berkenaan dan dilarang mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya.
“Mana-mana orang yang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut ajaran berkenaan hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha,” katanya.
Katanya, orang ramai juga tidak boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa poster, buku, majalah, risalah atau bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip atau ditulis dalam semua bentuk keluaran termasuk filem. audio visual, rakaman, laman sesawang dan media cetak atau elektronik.
“Jawatankuasa Muzakarah MKI juga mencadangkan agensi kerajaan berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat) dan memberi peruntukan atau pembiayaan bersesuaian dengan tujuan berkenaan,” katanya.
Sementara itu,beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah menyembah maklum pandangan hukum itu kepada Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Nazrin Shah seterusnya ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 23 dan 24 Oktober lalu.
“Majlis mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang sudah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri boleh mempertimbang keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa negeri masing-masing,” katanya.
Sehingga kini, enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Sabah, Perlis, Pahang, Melaka – telah mengisytiharkan ajaran GISBH sebagai sesat selepas polis menyerbu 20 rumah kebajikan yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan September lalu.
Nnn
