SEREMBAN 5 Jun – Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, mengesahkan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr Roslan Hussin tidak menerima sebarang surat berhubung tawaran atau pelantikannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
Naib Presiden PKR itu berkata, beliau telah berjumpa Dr Roslan hari ini dan bertanyakan berkaitan pelantikan itu.
“Saya sudah berjumpa dengan beliau dan bertanyakan adakah beliau ada menerima surat atau tawaran sebagai ahli MPP, beliau sendiri memberitahu tidak menerima apa-apa surat setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan Roslan dilantik sebagai ahli MPP baharu parti itu selepas PKR membuat rombakan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) di tujuh negeri, baru-baru ini.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan PKR turut melantik tiga Ahli MPP baharu iaitu Datuk Dr Sangkar Rasam, Azan Ismail dan Datuk Dr Roslan Hussin.
Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan dan Melaka, berkata Roslan tidak berada dalam mesyuarat MPP berkenaan.
“Dia tidak duduk lagi dalam mesyuarat, hanya nama dipetik tapi setakat ini beliau tidak menerima sebarang surat berkaitan pelantikan yang dihebohkan itu.
“Jika pun ada (surat), Roslan boleh menerima atau pun menolak pelantikan itu. Jika dia menerima (jawatan ahli MPP) itu dan ada hitam putih (rasmi), itu satu kesilapan dia.
“Tapi jika dia tidak terima jawatan, cuma orang sebut nama dia, tidak adil untuk dia (dikritik),” katanya.
Jelas Aminuddin, Roslan boleh menolak sebarang tawaran atau pelantikan ahli MPP itu disebabkan dia seorang penjawat awam dan masih memegang jawatan sebagai Pengarah JPNS.
Pada 1 Jun lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberitahu, Kementerian Pendidikan belum menerima pemakluman berhubung pelantikan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan itu sebagai ahli MPP baharu PKR.
Susulan itu, Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR meminta Roslan memberi tumpuan terhadap tugas hakiki sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan.
NNN
