KUCHING 21 Feb. – Kerajaan Sarawak mengisytiharkan perkabungan selama dua hari pada 21 dan 22 Februari sebagai menghormati pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri, Abdul Taib Mahmud.
Menurut kenyataan rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri, Abu Bakar Marzuki, semua majlis rasmi yang melibatkan acara-acara hiburan hendaklah ditangguhkan manakala bendera hendaklah dikibarkan separuh tiang.
Jenazah dijangka tiba pada pukul 3.30 petang ini dari Kuala Lumpur dan akan terus dibawa ke rumah beliau di Demak Jaya, Jalan Bako.
Keesokannya, jenazah akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir mulai pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Selepas itu jenazah akan dibawa ke Masjid Demak untuk disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan keluarga di Demak Jaya untuk upacara pengebumian selepas solat Zohor.
Allahyarham meninggalkan empat orang anak hasil perkahwinannya dengan Allahyarhamah Laila Taib yang dikahwininya pada 13 Januari 1959 – Jamilah Hamidah, Mahmud Abu Bekir, Abdul Rahman Sulaiman dan Hanifah Hajar Taib.
Hanifah Hajar adalah Timbalan Menteri Ekonomi.
Allahyarham Abdul Taib, adalah pemimpin yang berjaya membawa perubahan besar kepada Sarawak setelah selama 32 tahun menerajui kerajaan negeri itu mulai 26 Mac 1981.
Beliau mengambil alih pentadbiran kerajaan Sarawak daripada Abdul Rahman Yakub dan menjadi Ketua Menteri paling lama sehingga meletak jawatan pada 28 Februari 2014 apabila dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh.
Allahyarham menjadi ketua negeri sehingga 25 Januari lalu selepas berkhidmat selama 10 tahun.
Berketurunan Melanau, Allahyarham dilahirkan di Miri pada 21 Mei 1936, merupakan anak saudara Ketua Menteri Sarawak ketiga yang juga Yang di-Pertua Negeri Sarawak keempat, Allahyarham Abdul Rahman Yakub.
