13 bas tidak dibenar berada di jalan raya

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Sebanyak 13 daripada 2,801 bas ekspres yang diperiksa tidak dibenarkan berada di jalan raya selepas pemeriksaan Op Khas Terminal mendapati bas berkenaan tidak mencapai standard keselamatan ditetapkan.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lokman Jamaan, berkata pemeriksaan itu dilakukan di 28 terminal di seluruh negara sejak 1 Februari lalu hingga semalam.

“Sebanyak 44 bas diambil tindakan dengan 13 daripadanya tidak dibenarkan berada di jalan raya kerana tahap keselamatan yang rendah dan tidak mencapai standard keselamatan ditetapkan,” katanya.

Selain itu, ujian saringan urin terhadap 187 pemandu bas ekspres dilakukan di mana empat daripadanya didapati positif dadah dan kes diserahkan kepada pihak Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Op Khas Terminal di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini, hari ini.

Lokman berkata, pihaknya juga menjalankan pemeriksaan ke atas syarikat pengendali bas ekspres sama ada terdapat tunggakan saman JPJ mahupun polis yang tidak dijelaskan.

Di samping itu, pihaknya  juga menjalankan pemeriksaan teknikal terhadap tayar, brek dan peralatan keselamatan bas bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang dalam keadaan selamat.

“Kami akan meneruskan pemeriksaan ini sepanjang bulan perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah yang bermula sejak 1 hingga 29 Februari nanti bagi menjamin keselamatan semua pihak,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai khususnya penunggang atau pembonceng motosikal menggunakan kenderaan perkhidmatan awam seperti bas ekspres yang dilesenkan.

“Penggunaan kenderaan awam ini bagi perjalanan jarak jauh atau balik kampung dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan risiko kemalangan khususnya bagi penunggang serta pembonceng motosikal,” katanya.

(Foto JPJ WP ..Operasi di Terminal Bersepadu Selatan)

Related posts

Leave a Comment