Iran nafi terbabit serangan Hamas

TEHRAN: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menafikan sebarang pembabitan negara itu dalam serangan mengejut Hamas ke atas Israel pada Sabtu lalu walaupun sokongan kuatnya terhadap kumpulan militan Palestin.

Khamenei dalam ucapan di akademi tentera berkata, penyokong rejim Zionis (Israel) dan beberapa orang dalam rejim menyebarkan khabar angin sejak dua tiga hari lalu, termasuk Iran Islam berada di belakang tindakan ini.

“Mereka salah,” kata Khamenei.

Pihaknya bagaimanapun sudah tentu mempertahankan Palestin, kerana mempertahankan perjuangan, malah beliau turut menggesa seluruh negara Islam untuk menyokong rakyat Palestin.

Khamenei berkata Israel mengalami “kegagalan yang tidak boleh diperbaiki” dalam kedua-dua bidang iaitu tentera dan perisikan.

“Semua orang bercakap mengenai kegagalan itu, saya memberi penekanan kepada faktor yang tidak boleh dibaiki itu,” katanya.

Iran mendahului negara lain dalam meraikan serangan Hamas di mana sekurang-kurangnya 1,500 lelaki bersenjata menyerbu sempadan dan menyerang komuniti Israel sehingga mengorbankan 900 orang.

Terdahulu misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin mengesahkan Tehran tidak terbabit dalam serangan Hamas yang disifatkan paling berdarah dalam sejarah Israel apabila mengorbankan 700 warga Israel.

“Langkah tegas diambil Palestin adalah pertahanan sah sepenuhnya terhadap tujuh dekad pendudukan menindas dan jenayah kejam dilakukan rejim Zionis,” kata misi PBB Iran dalam kenyataan.

Iran tidak merahsiakan sokongannya kepada Hamas, membiayai dan membekalkan senjata kepada kumpulan itu dan satu lagi pertubuhan Palestin, Jihad Islam.

Related posts

Leave a Comment