Selepas 26 tahun Anwar kembali bentang bajet

PUTRAJAYA 24 Feb. – Selepas 26 tahun,  Anwar Ibrahim hari ini kembali lagi ke Dewan Rakyat bagi membentangkan Belanjawan 2023 di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinannya yang dijadual pada 4 petang hari ini.

Menteri Kewangan itu muncul semuka dalam pembentangan belanjawan negara selepas kali terakhir beliau memegang portfolio itu pada tahun 1998.

Ini kali pertama Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pada 2 Disember 2022 pimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri membentangkan belanjawan selepas kali terakhir beliau memegang portfolio itu pada tahun 1998.

Ditanya perasaannya selepas 26 tahun kembali membentangkan belanjawan, Anwar ketika ditemui pemberita di Kementerian Kewangan sebelum bertolak ke Parlimen hari ini secara ringkas berkata: “Sempurnakan tanggungjawab dengan baik”.

Perdana Menteri yang berpakaian baju Melayu lengkap berwarna biru muda bersamping yang dihasilkan oleh Penjara Penor, Pahang dan bersongkok serta memakai capal dari Kepala Batas dilihat membawa beg fail warna hitam bermotif corak tenunan Sarawak yang berisi teks ucapan pembentangan Belanjawan 2023 sebelum meninggalkan Kementerian Kewangan pada 3.07 petang ke Parlimen.

Anwar diiringi Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan dan Steven Sim Chee Keong serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Johan Mahmood Merican.

Terdahulu, sebelum memulakan perjalanan, Pegawai Hal Ehwal Islam Kementerian Kewangan Ustaz Mohamad Zukrillah Ismail mengetuai bacaan doa bagi mendapatkan keberkatan.

Related posts

Leave a Comment