Lagi kawasan dikenakan PKP

KUALA LUMPUR 8 Mei – Seluruh daerah Kuantan, Pahang, beberapa daerah dan mukim di Pulau Pinang serta Perak diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 10 hingga 23 Mei ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata di Pulau Pinang, daerah yang terlibat adalah Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, selain Mukim 12, Barat Daya; Bandar Butterworth dan Mukim 14, Seberang Perai Utara.

Beliau berkata di Perak pula membabitkan mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan, selain mukim Pengkalan Hulu dan mukim Belukar Semang di Hulu Perak.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKP di semua kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP di sini hari ini.

Beliau berkata di Kuantan, sehingga semalam 1,578 kes positif Covid-19 direkodkan di daerah itu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam komuniti, selain terdapat peningkatan jumlah kes sporadik dengan 10 kluster aktif.

Ismail Sabri berkata di Pulau Pinang, terdapat 14 kluster aktif ketika ini dengan kadar insiden yang semakin meningkat di beberapa mukim dan daerah.

“Dengan pelaksanaan PKP di tiga daerah dan tiga mukim di negeri ini, pergerakan rentas negeri dan daerah adalah tidak dibenarkan, begitu juga pergerakan antara tiga mukim yang dilaksanakan PKP turut tidak dibenarkan,” katanya.

Sementara di Perak, beliau berkata terdapat peningkatan kes yang amat ketara di mukim Hulu Kinta apabila untuk minggu epid 17, sebanyak 176 kes positif direkodkan daripada 1,185 saringan dengan kadar positif 14.85 peratus.

Katanya, pelaksanaan PKP di kawasan itu untuk memastikan pergerakan penduduk dapat dikawal bagi mengelak penularan jangkitan kawasan lain.

Beliau berkata dalam masa sama, terdapat peningkatan kes secara mendadak di dua institusi di Pengkalan Hulu dengan kadar positiviti yang tinggi.

Related posts

Leave a Comment