10 kes baharu di Singapura

KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan 10 kes baharu jangkitan Covid-19 hari ini, 1 Disember 2020 dengan lapan kes import dan dua tempatan yang membawa jumlah keseluruhan kes 58,228.

Dalam satu kenyataan, MOH menyatakan salah satu kes jangkitan tempatan melibatkan wanita berusia 66 tahun, pekerja pembersihan di kawasan persinggahan Terminal 3 Lapangan Terbang Changi.

Beliau tidak menunjukkan simptom dan dikesan melalui ujian rutin berjadual (RRT) dua minggu sekali bagi pekerja barisan hadapan.

Di tempat kerja, wanita itu menggunakan peralatan perlindungan peribadi termasuk pelitup, pelindung muka, sarung tangan dan baju panjang manakala ujian swab yang dilakukan sebelumnya negatif.

Satu lagi kes tempatan melibatkan seorang lelaki penghuni asrama yang tidak menunjukkan simptom dan dikesan melalui pemantau aktif MOH.

Lelaki itu dibawa ke hospital apabila hasil ujian swab didapati positif.

Sementara itu salah satu daripada lapan kes import merupakan pemegang pas khas yang masuk Singapura dari Indonesia.

Lelaki itu ditangkap oleh Polis Pengawal Pantai kerana disyaki terlibat dalam satu kes sebelum ini. Dia diuji positif Covid-19 dan diasingkan sehingga dibawa ke hospital di mana ujiannya disahkan positif.

Kes import lain termasuk pemegang pas kerja yang tiba dari Jepun dan lima pemegang permit kerja yang tiba dari Indonesia dan Myanmar.

Satu lagi kes adalah pemegang pas lawatan jangka panjang, seorang budak lelaki satu tahun yang tiba dari Rusia. Dia merupakan kontak kes sebelum ini.

MOH juga menyatakan lagi lima kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat.

Secara keseluruhan, 58,139 kes sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.

Ketika ini terdapat 29 kes yang masih berada di hospital dengan kebanyakan mereka dalam keadaan stabil atau bertambah baik. Jumlah kematian pula kekal 29.

Related posts

Leave a Comment