RM2 juta baiki Masjid Kristal

KUALA TERENGGANU: Sebanyak RM2 juta diperlukan untuk membaik pulih struktur kubah Masjid Kristal yang mengalami kebocoran dan menyebabkannya ditutup sejak dua tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata kerajaan negeri berusaha mendapatkan dana daripada syarikat multinasional untuk membiayai kos baik pulih kubah masjid terbabit.

“Kita berusaha mendapatkan maklum balas daripada syarikat terbabit untuk bertemu dan berbincang serta mendapatkan gambarannya supaya boleh melakukan baik pulih segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Kalendar Aktiviti Pelancongan dan Pelancaran Mega Melawat Malaysia 2020 (VM2020) Terengganu di sini, hari ini.

Ariffin berkata, usaha baik pulih masjid yang pernah menjadi ikon pelancongan negeri dan dinobatkan antara masjid tercantik di negara itu pernah dilakukan beberapa kali manakala kontraktor diubah tiga kali.

Sebagai masjid yang menjadi ikon pelancongan negeri, beliau berkata, isu keselamatan adalah penting menyebabkan ia terpaksa ditutup apabila kerosakan belum dapat diatasi.

“Kerja baik pulih yang dimulakan awal tahun lalu sepatutnya siap September lalu, namun disebabkan kekangan peruntukan, usaha baik pulih tidak selesai.

“Proses baik pulih sebelum ini juga tidak secara menyeluruh, menyebabkan masalah kerosakan yang berlaku tidak dapat diselesaikan.

“Kerosakan pada struktur kubah agak teknikal yang mana ia perlu dicabut dan digam semula, maka kita perlu mendapatkan kontraktor asal atau kontraktor berpengalaman untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man menjadi antara ikon pelancongan negeri kerana seni bina yang unik menggunakan kaca dan keluli selain dibina di tebing Sungai Terengganu.

Masjid itu pernah dinobatkan sebagai masjid ketiga tercantik di dunia dan diiktiraf sebagai masjid pintar pertama di negara ini.

Ia dibina dengan kos RM22 juta dan dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.
BH ONLINE

Related posts

Leave a Comment