Memorandum bantah henti keganasan Uighur ditolak

KUALA LUMPUR: Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan China di Malaysia berhubung isu penindasan terhadap etnik Uighur di negara itu.

Bagaimanapun, Presidennya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata pihaknya kesal kerana kedutaan itu menolak memorandum berkenaan.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya menganggap ia sebagai bentuk penindasan terhadap suara masyarakat dan AGRA bersama 58 badan bukan kerajaan (NGO) itu tidak akan mengalah, sebaliknya akan mencari jalan untuk menyuarakan suara mangsa yang ditindas di Xinjiang.

“Hari ini suara kolektif yang peduli hal kemanusiaan etnik Uighur mengusahakan menghantar memorandum ke Kedutaan China, malangnya kami tidak dilayan, menyebabkan kami mengambil keputusan tidak menghantar memorandum ini yang jika diberi pun bakal masuk ke bakul sampah.

“Mungkin mereka mahu kami datang secara diplomasi, justeru satu surat akan diusulkan kepada kedutaan itu kelak bagi memohon Kerajaan China mengizinkan pihak seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diberikan akses melihat keadaan sebenar di sana.

“Kita tidak mahu termakan agenda Barat yang dipengaruhi persaingan berkaitan ekonomi mahupun hebahan berita tidak benar. Sebab itu kami ingin tahu sendiri dengan melihat keadaan sebenar di sana dengan adanya wakil dari Malaysia,” katanya selepas melakukan bantahan aman di hadapan Kedutaan China, Jalan Ampang, di sini, hari ini.

NGO lain yang turut hadir ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Akademi Intelektual Muda (AIM), Generasi Melayu Baru (Gen-M) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Selain itu, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, beliau juga menuntut kerajaan bersuara dan memainkan peranan berhubung pencabulan hak asasi manusia ini.

BH online

Related posts

Leave a Comment