KUALA LUMPUR 16 Nov. ‘ Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengalu-alukan hasrat Farhash Wafa Salvador yang mahu membuat laporan polis berhubung kenyataannya berkaitan ‘ugutan’ terhadap anggota Parlimen untuk menyokong kepemimpinan Perdana Menteri.
Pada masa yang sama, Ketua Armada Bersatu Malaysia itu bersedia menghadapi tindakan saman Farhash tetapi mengingatkan beliau supaya tidak menggunakan aparatus kerajaan seperti SPRM atau PDRM untuk menyerangnya.
Dalam kenyataannya, Wan Ahmad Fayhsal turut menafikan telah memfitnah Farhash sebaliknya beliau hanya sekadar membacakan satu laporan polis yg dibuat oleh seorang ahli Armada Bersatu Malaysia pada 14 November 2023.
“Datuk Wira Farhash seharusnya tidak melatah dengan tidak memeriksa fakta. Saya tidak pernah memfitnahnya. Saya hanya sekadar membacakan satu laporan polis yg dibuat oleh seorang ahli Armada Bersatu Malaysia pada 14 November 2023.
“Biarlah pihak polis mengambil tindakan kerana laporan polis tersebut telah menyatakan semua fakta yang perlu bagi siasatan polis dijalankan,” katanya.
Justeru beliau mengalu-alukan laporan polis dibuat oleh Farhash supaya perkara ini dapat disiasat sepenuhnya tetapi berharap “jangan pula ‘pisang berbuah dua kali’.
“Pernah dahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan polis walaupun dinasihatkan oleh Tun Dr. Mahathir supaya jangan berbuat demikian. Akhirnya, Datuk Seri Anwar didapati bersalah menyalahgunakan kuasa seperti dilaporkan dlm kes PP v DSAI (No.3) [1999] 2 CLJ 215,” katanya.
Semalam, Wan Ahmad Fayhsal pada satu sidang media mendedahkan laporan polis berhubung ‘peranan’ seorang bekas setiausaha politik dan Datuk Botak yang memainkan peranan menarik ahli Parlimen PN menyokong Perdana Menteri.
Dalam pada itu, beliau menyanggah kenyataan Ahli Parlimen Labuan Datuk Indera Dr Suhaili Abdul Rahman, yang menafikan peranan ‘Dato’ Botak’ yang mengugut, menjanjikan projek dan habuan wang tunai kepada Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional.
“Sebaliknya, Ahli-Ahli Parlimen Bersatu khususnya, turut dipujuk untuk menyokong Perdana Menteri, yang mana habuannya adalah peruntukan parlimen. Malah, Ahli Parlimen Labuan juga telah mendakwa ditawarkan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan kerana memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.
“Bukti-bukti seperti gambar, video, mesej dan email yang dihantar oleh ‘Dato’ Botak’ ada dalam simpanan kami dan telah disertakan dalam laporan polis dan akan disertakan dalam laporan SPRM,” katanya.
