Amanah jangka peroleh 33 kerusi DUN

KUALA LUMPUR 11 Julai – Parti Amanah Negara (Amanah) menjangkakan akan memperoleh 33 daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan pada 12 Ogos depan.

Timbalan Presidennya,  Salahuddin Ayub, berkata pihaknya juga yakin dapat memenangi semua kerusi DUN yang disasarkan itu, termasuk di negeri ditadbir pembangkang.

“Angka (bertanding kerusi DUN) lebih kurang…kalau di Kelantan (kita) boleh bertanding tujuh kerusi. Kalau di Terengganu tiga atau empat Insya-Allah. Kedah (kita sasarkan) tujuh atau lapan (kerusi DUN), Selangor sembilan kerusi, Negeri Sembilan tiga kerusi dan dua kerusi di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan sambutan rakyat, Amanah yakin dapat mengekalkan kemenangan dan mempunyai peluang yang seimbang di negeri-negeri yang pembangkang perintah ketika ini.

“Jadi dalam politik ini tidak ada (cabaran) yang susah. Yang penting, kita cuba sebaik mungkin. Peluang yang ada itu semua parti politik akan menampilkan calon, strategi dan pendekatan terbaik,” katanya selepas melakukan tinjauan di sebuah pasar raya besar di Setapak hari ini.

Ditanya sama ada kehadiran Barisan Nasional (BN) yang membentuk Kerajaan Perpaduan menjadi ancaman, Salahuddin berkata pihaknya tidak ada masalah dan menyifatkan kerjasama antara BN-PH umpama penyatuan dua keluarga dan segala cabaran dalam kehidupan ‘rumah tangga’ perlu dilalui bersama.

“Kami sudah biasa sejak zaman Pilihan Raya Umum (PRU) 1986…dengan PKR, dengan DAP masuk (gabungan), kemudian Bersatu dan sekarang dengan UMNO.

“Kita sudah biasa berkeluarga macam ini. Jadi tidak ada masalah kerana segala cabaran akan kita hadapi bersama, sebagamana kita mendirikan rumah tangga,” katanya.

Menjawab serangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) ke atas Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang didakwa menggunakan isu menyentuh 3R (agama, raja dan kaum), Salahuddin berkata, PH dan BN perlu berada di landasan betul ketika berkempen.

Tegasnya semua pihak wajib menolak isu menyentuh 3R bagi mengelak diri terpalit dan dilabel sebagai pelampau agama atau pun pelampau kaum.

“Kita elak daripada (menggunakan isu) 3R. Kita larang bahkan kita ajak rakyat menolak (isu) 3R. Jangan jadi pelampau agama, pelampau kaum dan kita pastikan semua pimpinan PH dan BN pada perimeter yang betul,” katanya.

Related posts

Leave a Comment