ALOR SETAR 9 Nov. – Bekas Perdana Menteri, Dr Ismail Sabri Yaakob, antara tokoh yang bakal menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) selepas menamatkan pengajian dalam bidang Sains Politik di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Beliau adalah antara 6,442 graduan UUM yang bakal diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-39 universiti itu, bermula 15 hingga 19 November ini.
Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, berkata Tuanku Canselor Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, berkenan mengisytiharkan sesi pertama serta mengurniakan ijazah kepada graduan.
Katanya, majlis yang akan berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah kampus UUM itu membabitkan sembilan sesi.
Sebanyak 5,296 adalah graduan sarjana muda, manakala 1,082 lagi graduan pasca siswazah membabitkan pengajian Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan sarjana termasuk 37 graduan Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan.
Majlis ini turut membabitkan 5,952 graduan tempatan dan 490 graduan antarabangsa, termasuk dari China seramai 172 orang, Indonesia (108), Pakistan (31), Iraq (21), Emiriah Arab Bersatu (16), Nigeria (15) dan Somalia (14),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ahmad Marthada berkata, UUM turut menganugerahi Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Teknologi, Operasi dan Logistik) kepada Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Group, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, 66.
Katanya, Ijazah Kehormat Sarjana Sains (Pengurusan Pendidikan) dianugerah kepada pengasas Pusat Tuisyen Akademik Darul Bakti Kubang Pasu, Zainol Abidin Mohamad, 68, yang lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Non’.
Prof Dr Rosna Awang Hashim dianugerahi gelaran Profesor Emerita selepas berkhidmat lebih 35 tahun di UUM, termasuk 21 tahun sebagai profesor, pelakon Idris Md Yusof atau lebih dikenali sebagai Eizlan Yusof juga berjaya menamatkan pengajian dalam program Sarjana Sains (Pengurusan).
Sementara itu, beliau berkata, 1,104 daripada 5,296 graduan sarjana muda memperoleh ijazah kelas pertama di mana 106 graduan yang memperoleh Purata Mata Gred Keseluruhan (PMK) sekurang-kurangnya 3.67 turut diiktiraf atas kecemerlangan menyeluruh merangkumi akademik, kepimpinan, sahsiah serta pembabitan dalam aktiviti masyarakat dan universiti.
Anugerah Pelajaran Diraja diberikan kepada Irfan Umar Mohd Nor Fazly, 24, dari Petaling Jaya, Selangor dan Ooi Sze Qin, 24, dari Cheras, Selangor, manakala Anugerah Pingat Emas Canselor dianugerahkan kepada Aina Najihah Safaruddin, 24, dari Kuala Kangsar, Perak.
Penerima Anugerah Pelajaran Diraja masing-masing menerima RM7,500 berserta sijil, manakala penerima Anugerah Pingat Emas Canselor menerima RM5,000 berserta sijil.
Buat julung kali, 46 penerima Pingat Emas Naib Canselor turut menerima wang RM2,000 seorang selain pingat dan sijil, membabitkan peruntukan keseluruhan RM92,000.
Nnn
