Shuhaily kembali ke perkhidmatan polis

PUTRAJAYA 29 Okt. – Mohd Shuhaily Mohd Zain yang dalam kontrak peminjaman kader sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) akan dikembalikan kepada perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan itu dibuat minggu lalu.

Katanya, seperti dijelaskan Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail sebelum ini, Shuhaily adalah kader polis ke AKPS.

“Jadi kita, kembalikan dia pulang kepada pasukan polis dan pihak polis akan menyusullah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.

Ditanya siapa individu yang bakal menggantikan Mohd Shuhaily sebagai Ketua Pengarah AKPS yang baharu, Saifuddin hanya berkata, polis.

Semalam, Mohd Khalid berkata status perkhidmatan Shuhaily di AKPS dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat perundangan sebelum sebarang keputusan berkaitan penamatan atau pemendekan tempoh perkhidmatannya diangkat untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu katanya, turut diserahkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, rujukan kepada AGC perlu dibuat kerana penugasan Shuhaily di AKPS berdasarkan kontrak peminjaman kader daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh dua tahun yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula dalam kenyataan semalam menegaskan bahawa urusan perkhidmatan Shuhaily masih di peringkat untuk dimuktamadkan.

Menurut kenyataan itu, KDN ambil maklum serta menghargai pandangan yang disuarakan oleh masyarakat berhubung perkara berkenaan.

Pada 21 Oktober lalu, Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis, pada 28 September di KLIA.

Shuhaily, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Shuhaily didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada Mohamad Faiz Saman antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada 28 September lalu.

Beliau turut didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, di lokasi dan pada masa yang sama.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment