KUALA LUMPUR 23 Sept. – Barisan Nasional (BN) akan membuat keputusan berkaitan kerjasama dengan parti politik lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka ke-16 dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung BN, Dr Zambry Abdul Kadir, berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan semua kepemimpinan tertinggi BN di peringkat Negeri Melaka.
“Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membuat keputusan ini selepas perbincangan diadakan. Tumpuan ketika ini diberikan kepada proses rasmi pilihan raya.
“Keputusan kerjasama ini akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Penutup Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti (URIIS) 2026, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, berkuat kuasa hari ini.
Ini bagi membolehkan Melaka mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16. DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dan mandat kerajaan negeri semasa dijadual berakhir pada 27 Disember ini.
Pada PRN Melaka ke-15 pada 20 November 2021, BN membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh 21 daripada keseluruhan 28 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
